Teresa Desak Bebas Tahanan Bersih 2.0

SHAH ALAM 7 JULAI : Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok Suh Sim, mendesak kerajaan Umno-Barisan Nasional(BN) membebaskan kesemua tahanan yang ditahan berkaitan Bersih 2.0 sekali gus menghormati titah Yang Di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Teresa berkata, sehingga kini, seramai 180 orang telah disoal, ditahan atau didakwa oleh pihak polis termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Pakatan Rakyat dan Ahli Majlis serta aktivis.

Menurut Teresa, kebanyakan mereka didakwa kerana berhimpun tanpa permit, memakai baju T berlambang Bersih 2.0 berwarna kuning selain memiliki risalah kempen.

“Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Michael Tamil dan rakannya telah dipanggil untuk memberi keterangan mengenai Bersih 2.0 di Balai Polis USJ8 dan ditahan apabila mereka tiba di balai polis itu.

“Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) juga didakwa di Mahkamah Majistret kerana memakai baju T berlogo Bersih ketika menghadiri mesyuarat mereka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, semalam.

Beliau berkata, pihaknya juga berharap kerajaan akan membebaskan tahanan Bersih yang ditahan di bawah Ordinan Darurat atas dakwaan memerangi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin melibatkan lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar Devaraj.

“Saya gesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk membebaskan semua tahanan bagi menghormati titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

No comments: