Bersih 2.0 : Polis Perak Tahan 41 Orang

IPOH 7 JULAI : Polis Perak menahan 41 orang di beberapa daerah di negeri ini sejak Jumaat lalu hingga semalam kerana disyaki terbabit dalam kegiatan penganjuran perhimpunan aman anjuran BERSIH 2.0 yang dijadual pada Sabtu ini.

Ketua Polis Perak Datuk Shukri Dahalan berkata mereka yang ditahan turut membabitkan beberapa wakil rakyat Pakatan, individu dan seorang guru agama.

Mereka ditahan kerana didapati berkumpul dan memakai baju dengan lakaran 'BERSIH' serta mengagihkan baju-T 'BERSIH 2011' dan risalah mengenai perhimpunan itu, katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak di Ipoh hari ini.

Shukri berkata kepada Bernama Online, kesemua mereka ditahan di Sungai Siput, Kuala Kangsar, Batu Gajah dan Ipoh mengikut Seksyen 27(5) Akta Polis serta Seksyen 108 Kanun Keseksaan dan dibebaskan dengan ikat jamin polis.

Sehubungan itu, polis mengingatkan orang ramai supaya tidak terbabit dalam perhimpunan itu kerana perbuatan tersebut menyalahi undang-undang dan polis tidak akan bertolak ansur terhadap mereka yang masih meneruskan kegiatan itu.

Dalam perkembangan lain, Shukri mempelawa orang ramai mengunjungi program Hari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bersama Pelanggan, yang akan diadakan setiap bulan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen, untuk mendapatkan maklumat serta pertanyaan mengenai masalah yang mereka hadapi di kaunter yang disediakan.

Progam Hari PDRM bersama pelanggan turut diadakan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah pada Khamis setiap minggu, katanya.

Beliau berkata sepanjang enam bulan pertama tahun ini, Polis Perak berjaya menurunkan indeks jenayah sebanyak 7.6 peratus.

Laporan kes jenayah yang direkodkan bagi tempoh berkenaan ialah 4,979 kes berbanding 5,363 kes bagi tempoh yang sama tahun 2010, yang memperlihatkan penurunan sebanyak 384 kes, katanya.

No comments: