KUALA LUMPUR 22 MAC : Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menegaskan Pakatan Rakyat dan Parti Kebangsaan Sarawak akan bergerak sebagai “satu pasukan” dalam mencabar Barisan Nasional pada pilihanraya negeri itu.
SPR akan bermesyuarat esok untuk menetapkan hari penamaan calon dan tarikh mengundi untuk 71 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak yang akan dipertandingkan.
Anwar menolak dakwaan kononnya Pakatan Rakyat yang merangkum Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS tidak sehaluan dengan SNAP dalam soal pengagihan kerusi.
“Soal rundingan di antara parti sudah pun hampir selesai. Kita sudah bersetuju dalam semua kerusi-kerusi yang akan dipertandingkan di antara tiga-tiga parti dan juga SNAP,” kata Anwar.
“Ada beberapa perkara kecil dan beberapa kerusi lain yang akan diputuskan dalam beberapa hari lagi tetapi dari segi keseluruhannya kita dah bersetuju dengan pengagihan kerusi dan kita akan bekerja sebagai satu pasukan,” tegas beliau.
Anwar yang juga Ketua Umum PKR turut menggesa SPR memastikan pilihanraya diadakan secara telus dan adil selain membenarkan tempoh berkempen selama tiga minggu, memandangkan kekangan logistik untuk menyampaikan mesej kepada rakyat Sarawak.
“Kita telah menggesa supaya Sarawak memperkenalkan sistem pilihanraya yang bersih dan adil dengan… ruang media mengelakkan sebarang sekatan dan kertas undi dan undian pos yang telus,” tegas Anwar.
“Kalau tidak, nyata Sarawak (akan jadi ) satu lagi contoh di mana kerakusan kuasa BN Sarawak dan BN Malaysia untuk merebut kemenangan dengan cara tipu helah bertentangan dengan prinsip dan amalan demokrasi,” kata Anwar.
KUALA LUMPUR, 21 Mac — Seorang penulis blog, yang disaman oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berhubung satu artikel yang didakwa memfitnah beliau, bersetuju berhenti daripada menyiarkan tulisan itu, demikian menurut peguam bagi menteri itu hari ini.
Badrul Munir Bukhari, peguam yang mewakili Rais, berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Rais bagi menghalang Amizudin Ahmat daripada terus menyiarkan artikel dalam blog, sharpshooterblogger.blogspot.com. sehingga saman oleh Rais terhadap Amizudin selesai.
Badrul Munir memberitahu pemberita bahawa permohonan itu dibenarkan berdasarkan persetujuan kedua-dua pihak.
Amizudin diwakili peguam Gan Chee Wei. Mahkamah menetapkan 6 April ini untuk pengurusan kes tuu.
Pada 2 Feb lepas, Rais berjaya dalam permohonannya di Mahkamah Tinggi untuk mengarahkan Amizudin mengeluarkan daripada blognya artikel berkenaan dan gambar Rais.
Hakim juga membenarkan permohonan Rais bagi menghalang Amizudin atau ejennya daripada terus menyiarkan artikel didakwa berunsur fitnah itu atau yang seumpamanya terhadap beliau sehingga permohonan inter-parte itu selesai.
Pada 31 Jan, Rais memfailkan saman fitnah terhadap Amizudin, yang juga anggota jawatankuasa sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung artikel yang disiarkan dalam blog Amizudin, bersama gambar Rais, sekitar 28 Dis tahun lepas.
Beliau menuntut antara lainnya ganti rugi am, ganti rugi khas, ganti rugi teruk selain perintah terhadap defendan supaya mengeluarkan daripada blognya artikel itu dan melarangnya daripada terus menyiarkannya.
Dalam kenyataan tuntutannya, Rais, 69, berkata maksud artikel dalam bahasa Melayu itu berniat jahat dan memfitnah beliau.
Katanya tulisan itu membawa makna beliau bersalah melakukan jenayah serius merogol dan mampu membunuh pembantu rumah beliau dari Indonesia.
Rais juga berkata tulisan fitnah itu membawa maksud beliau seorang manusia dan/atau pemimpin yang tidak bermoral.
Menteri itu berkata bahawa ekoran daripada penerbitan artikel itu, reputasi beliau sebagai seorang individu dan/atau sebagai seorang profesional di peringkat nasional dan antarabangsa telah tercemar teruk, dan membuat beliau malu dan tertekan.
Rais telah menafikan alegasi itu selepas seorang penulis blog menamakan beliau.
Ekoran itu, seorang wanita yang pernah bekerja dengan beliau selama lapan tahun, dilaporkan oleh sebuah portal berita Indonesia, telah menafikan yang beliau pernah dilayan buruk atau dirogol oleh majikannya. — Bernama




