Suruh PH cermin diri, tapi META AI pun kata gaya Prabowo lebih mirip BN

 




Persamaan gaya politik Presiden Indonesia, Prabowo Subianto dengan parti politik di Malaysia mengundang perdebatan netizen selepas jawapan Meta AI yang dikongsikan memberikan pandangan berbeza daripada komen yang menyasarkan Pakatan Harapan (PH).

Mulanya, pengguna Threads dikenali sebagai chandraarjun.my menyindir sikap sesetengah rakyat Malaysia yang mengkritik pengundi Indonesia kerana memilih Prabowo, tetapi pada masa sama menyokong Umno atau Perikatan Nasional (PN).

“Complain rakyat Indonesia pilih Prabowo. Tapi, undi Umno/PN. Make it make sense,” tulis pengguna berkenaan.

Bagaimanapun, sebuah akaun menggunakan nama khaled.nordin tampil membalas dengan mengaitkan gaya politik Prabowo kepada PH.

“Yang Prabowo sebenarnya PH bang. Tolong cermin diri,” katanya sebelum ditempelak netizen lain.

Antaranya, adrina_gurlz, mengemukakan pertanyaan kepada Meta AI mengenai gabungan politik Malaysia yang lebih menyerupai Prabowo, sama ada PH atau Barisan Nasional (BN).

Menariknya, jawapan Meta AI yang dipaparkan memberikan perbandingan berbeza.

“Dari segi gaya politik, BN lebih dekat dengan Prabowo,” menurut jawapan itu yang mengaitkan Prabowo dengan pendekatan kepimpinan tegas, nasionalisme, latar belakang ketenteraan dan institusi pemerintah.

Ciri-ciri itu ditafsirkan oleh AI berkenaan sebagai mempunyai persamaan dengan tradisi politik Umno dan BN.

Sebaliknya, PH digambarkan lebih dekat dengan gerakan reformasi yang menekankan pembaharuan institusi, hak asasi manusia serta pendekatan mencabar penguasaan politik yang telah lama bertapak.

Ditamatkan PH

Dari sudut sejarah, BN sememangnya menerajui pentadbiran negara selama beberapa dekad sebelum penguasaannya di peringkat Persekutuan ditamatkan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), 9 Mei 2018.

Kajian politik mengenai pilihan raya tersebut turut menghuraikan peranan PH sebagai gabungan pembangkang yang mencabar dominasi BN serta membawa tuntutan perubahan pentadbiran.

Untuk rekod, Prabowo mempunyai latar politik tersendiri, termasuk pengalaman dalam ketenteraan, kepimpinan Parti Gerindra serta penyertaan dalam pentadbiran Presiden Joko Widodo sebelum memenangi pilihan raya presiden 2024.

Sementara itu, pengguna Facebook, Jason Yew, yang berkongsi tangkap layar perbualan tersebut turut menyindir pihak yang meminta orang lain bermuhasabah tetapi tidak menilai pendirian sendiri.

“Orang lain disuruh cermin diri, cermin sendiri terlupa nak pandang!” sindirnya.



No comments: