Bukan main lagi Ahli Parlimen Pasir Puteh daripada PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh apabila mendakwa pemberian subsidi boleh mengajar rakyat menjadi malas.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini, beliau mencadangkan supaya kerajaan lebih mengutamakan pemberian peralatan untuk menjana pendapatan berbanding bantuan tunai dan subsidi semata-mata.
Katanya, rakyat sepatutnya diberikan kail dan bukannya ikan supaya mereka boleh berusaha sendiri untuk meningkatkan pendapatan.
Malah, beliau secara terbuka menyatakan pemberian subsidi dan bantuan berbentuk ikan boleh mengajar rakyat menjadi malas.
Wah, nampaknya mudah sungguh nak menyelesaikan masalah kemiskinan. Bagi sahaja kail, periuk, kuali atau mesin, kemudian harapkan semuanya boleh berdikari.
Memang tidak salah kalau kerajaan mahu membantu rakyat menjana pendapatan sendiri. Tetapi jangan pula sampai bantuan subsidi yang selama ini meringankan beban kehidupan dianggap sebagai sesuatu yang menjadikan rakyat malas.
Bukan semua penerima subsidi duduk rumah goyang kaki. Ada yang keluar bekerja awal pagi, balik lewat malam, malah terpaksa membuat dua pekerjaan semata-mata mahu mencukupkan belanja keluarga.
Ada juga yang menerima gaji kecil, tetapi perlu menanggung sewa rumah, bil elektrik, barang dapur dan persekolahan anak-anak.
Kalau subsidi minyak, barangan asas atau bantuan tunai membantu mereka meneruskan kehidupan, adakah itu bermakna mereka malas?
Mungkin dari sudut seorang ahli politik, bantuan peralatan nampak seperti penyelesaian jangka panjang. Tetapi bagi rakyat yang sedang bergelut dengan kos hidup, bantuan segera juga cukup penting.
Bagaimanapun, Nik Muhammad Zawawi mengakui bantuan kewangan masih diperlukan oleh golongan tertentu termasuk ibu tunggal, orang sakit dan orang kurang upaya.
Hakikatnya, membantu rakyat berdikari dan memberikan subsidi bukanlah dua perkara yang mesti dipilih salah satu. Kedua-duanya boleh berjalan serentak mengikut keperluan.
Kerajaan boleh memberikan kail kepada mereka yang mahu memancing, tetapi jangan sampai orang yang sedang kelaparan dibiarkan menunggu ikan hasil pancingan sendiri.
Lagi satu, kalau subsidi boleh mengajar rakyat jadi malas, bagaimana pula dengan pelbagai kemudahan dan elaun yang dinikmati ahli politik?
Rakyat bekerja keras setiap hari untuk mencari rezeki. Jadi, jangan terlalu mudah mengaitkan bantuan yang mereka terima dengan sikap malas.
Kadang-kadang yang rakyat perlukan bukan ceramah panjang tentang cara hendak berdikari, tetapi sedikit bantuan untuk terus bertahan menghadapi kehidupan yang semakin mencabar.

No comments:
Post a Comment