PETALING JAYA 21 MAC: Walaupun dikaitkan dengan pelbagai fitnah termasuk digelar agen Yahudi, pengamal hemoseksual dan terbaru dikaitkan dengan video rakaman seks yang diedarkan hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah hilang sokongan rakyat.
Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution berkata, semakin liar tuduhan yang dilemparkan ke atas Anwar, ia hakikatnya menguatkan sokongan rakyat kepada Ketua Umum PKR itu.
Bercakap pada sidang media di Ibu Pejabat PKR petang tadi, Saifuddin menganggap kebangkitan rakyat tidak akan disekat melalui klip video lucah yang cuba dikaitkan dengan Ketua Pembangkang.
Malah katanya, sejak dari awal penubuhan parti itu telah dikecam dengan pelbagai tomahan namun masih berjaya dibuktikan dengan sokongan rakyat untuk membebaskan negara daripada cengkaman politik Umno-Barisan Nasional (BN).
"Ujian sokongan sebenarnya pada pilihanraya. Kita bermula dengan lima kerusi Dewan Undangan Negeri. Datuk Seri Anwar turut diserang (sebagai) agen asing, agen Yahudi, pengkhianat Melayu dan bermacam lagi. Kita masuk pilihanraya lagi sehingga 2008, kita mampu memenangi sehinggi 31 parlimen dan 43 Dewan negeri dengan 1.5 juta sokongan pengundi," ujar Saifuddin.
Negara hari ini digemparkan dengan tayangan video lucah yang didakwa melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim oleh individu
bergelar Datuk T.
Dengan kehadiran ketua-ketua editor media arus perdana dan anggota Unit Khas PDRM, video tersebut ditayangkan selama 21 minit.
Namun pengamal media tidak dibenarkan mencatat sebarang nota atau membuat rakaman ketika ianya ditayangkan di Carcosa Seri Negara pagi tadi.
Rakaman tersebut dilakukan pada 21 Februari tahun ini dengan peralatan kamera canggih bertujuan untuk memerangkap Anwar dan kepimpinan PKR.
Seterusnya individu bergelar Datuk T itu turut mengugut untuk mendedahkan video itu sekiranya Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak meletakkan jawatan dalam tempoh seminggu.
Anwar seterusnya menafikan perkara itu dalam sidang media yang sama dan akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi jam 10.30 pagi esok.