Selama ini pemimpin Perikatan Nasional (PN) lantang mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi apabila bercakap soal mencari calon yang mampu menandinginya, pemimpin PAS sendiri mengakui cabarannya bukan kecil.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari membuat pengakuan menarik ketika menjadi tetamu podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan Shahril Hamdan.
Menurut Fadhli, antara cabaran terbesar PN ketika ini adalah untuk menampilkan seorang tokoh yang mampu berdiri setanding dengan Anwar.
“Saya akur bahawa cabaran untuk menampilkan seorang tokoh seperti PMX itu satu-satunya cabaran yang sangat besarlah,” katanya.
Beliau kemudian menegaskan bahawa PN perlu bergerak ke hadapan bagi mencari dan mengetengahkan calon yang mempunyai kemampuan untuk berdepan dengan Perdana Menteri.
“Dan sebab itu Perikatan Nasional pada hari ini, kita kena ke depan untuk nak tampilkan calon-calon yang boleh setanding dengan PMX,” katanya lagi.
Kenyataan itu menarik perhatian kerana datang daripada pemimpin parti pembangkang yang selama ini sering mengkritik kepimpinan Anwar dan Kerajaan MADANI.
Namun, apabila menyentuh soal calon Perdana Menteri, Fadhli sendiri mengakui bahawa PN berdepan cabaran besar untuk mengetengahkan tokoh yang mampu menandingi Anwar.
Pengakuan tersebut turut membuka persoalan mengenai persediaan kepimpinan PN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16.
Gabungan itu mempunyai beberapa pemimpin berpengalaman daripada PAS dan parti komponennya, tetapi persoalan siapa yang benar-benar mahu diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri masih menjadi bahan perbincangan politik.
Apa yang menarik, Fadhli tidak sekadar bercakap tentang usaha mengkritik kerajaan, sebaliknya menekankan keperluan PN membina barisan calon yang mampu menjadi alternatif kepada kepimpinan sedia ada.
Kini, persoalannya ialah siapakah tokoh yang mahu diketengahkan PN dan apakah tawaran kepimpinan yang bakal dibawa kepada rakyat?

No comments:
Post a Comment