Di Malaysia, ada penyokong PAS dan UMNO yang cenderung kepada politik konservatif mirip Republikan, tetapi boleh pula seronok meraikan kemenangan calon Demokrat di Amerika Syarikat.






 Politik ni kadang-kadang memang melucukan. Di Malaysia, ada penyokong PAS dan UMNO yang cenderung kepada politik konservatif mirip Republikan, tetapi boleh pula seronok meraikan kemenangan calon Demokrat di Amerika Syarikat.

Sampai pengkaji politik Dr Mohd Yusri Ibrahim (Pengkaji ILHAM Center) pun hairan melihat gelagat ini. Katanya, “Republicans sini gembira democrat sana menang. Politik semakin aneh.”
Kalau diperhatikan, PAS dan UMNO mempunyai beberapa persamaan dengan Parti Republikan. Politik identiti, sentimen agama, nasionalisme dan nilai konservatif antara pendekatan yang sering muncul dalam politik mereka.
Bezanya, Republikan banyak membawa identiti Kristian konservatif, manakala PAS sering dikritik kerana pendekatan politik agama yang ghuluw, sementara UMNO pula tidak terlepas daripada kritikan terhadap sentimen perkauman.
Dalam Parti Republikan juga wujud kelompok nasionalis kulit putih yang keras menentang imigran. Malah, gerakan ketuanan kulit putih sering dikaitkan dengan politik ekstrem kanan di Amerika.
Di Malaysia pula, kita biasa mendengar polemik politik yang mempertikaikan kedudukan kaum Cina dan India, termasuk penggunaan istilah pendatang. Retorik seperti ini turut menjadi bahan kritikan terhadap sebahagian pemimpin dan penyokong PAS serta UMNO.
Tentulah bukan semua Republikan bersetuju dengan ketuanan kulit putih. Begitu juga bukan semua penyokong PAS dan UMNO mempunyai pandangan yang sama tentang kaum dan agama.
Yang menariknya, Demokrat pula sering dikaitkan dengan pendekatan liberal, kepelbagaian kaum, hak minoriti dan kebebasan beragama. Ada dasar sosial mereka yang memang bertentangan dengan ajaran Islam. Itu tidak perlu dinafikan.
Cuma kena faham satu perkara. Istilah liberal dalam kajian sains politik tidak semestinya sama dengan istilah 'Islam Liberal' yang sering diperdebatkan dalam masyarakat di Nusantara.
Liberal dalam politik Amerika merujuk kepada pendekatan tertentu terhadap hak individu, demokrasi, kesaksamaan dan peranan kerajaan. Bukannya bermaksud seseorang itu membawa akidah Islam Liberal. Sebahagian besar mereka bukan orang Islam pun, nak jadi Islam Liberal bagaimana?
Tengok sahaja Abdul El-Sayed di Michigan. Seorang Muslim yang bertanding atas tiket Demokrat dan membawa identiti agamanya secara terbuka dalam politik Amerika. Beliau juga pernah berdepan serangan politik yang menyentuh identiti Islamnya.
Menariknya, dalam politik Demokrat yang berhaluan liberal itu, seorang Muslim masih boleh bertanding dengan identiti agamanya sendiri tanpa perlu menjadi liberal dalam soal akidah. Liberal dalam pendekatan politik tidak secara automatik bermaksud liberal dalam pegangan agama.
Sebab itu agak menarik apabila kemenangan Demokrat diraikan oleh kelompok yang selama ini lebih dekat dengan politik konservatif Republikan seperti PAS dan UMNO.
Mungkin mereka meraikan kekalahan Trump, mungkin kerana isu Palestin, atau mungkin sekadar suka melihat perubahan politik di Amerika.
Politik memang begitu. Persamaan ideologi tidak semestinya menentukan siapa yang disokong, apatah lagi apabila melibatkan politik negara lain.
Cuma lucunya, istilah liberal yang sering menjadi bahan serangan dalam politik Malaysia, tiba-tiba tidak lagi menjadi masalah apabila parti liberal di Amerika menang pilihan raya.

No comments: