SANUSI TEGUR AKMAL NASRULLAH
Roslinda Hashim
PENDANG - Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menegur sikap Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir supaya menjalankan tanggungjawab sebagai menteri dengan menyelesaikan masalah rakyat, bukannya menghasilkan kandungan TikTok yang hanya membangkitkan kelemahan negeri.
Beliau berkata, seorang menteri perlu mempunyai kewibawaan dan kematangan menjalankan tugas, bukannya menggunakan kedudukan, kemudahan serta aset kementerian untuk menghasilkan kandungan yang memberikan gambaran negatif terhadap Kedah.
Menurutnya, Akmal Nasrullah sepatutnya turut ‘meraikan’ penyerahan projek Loji Rawatan Air (LRA) Jenun Baru yang kini siap, selepas sebelum ini lantang membangkitkan kelewatan projek itu.
“Saya harap lepas penyerahan LRA ini, menteri ceplos (Akmal Nasrullah) mari sini, buat video TikTok bagi tahu LRA sudah siap. Sebelum ini, dia pandai habaq tak siap saja.
“Kalau nak jadi menteri, kena ada karakter menteri. Jangan pakai baju menteri, buat kerja di pejabat menteri, guna aset kementerian tetapi buat kerja ‘ceplos’ untuk beri gambaran buruk kepada Kerajaan Negeri.
“Kalau nak hamburkan benda-benda negatif, tak payah jadi menteri, pergi jadi ‘ceplos’,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf LRA Jenun Baru di sini, hari ini.
Sanusi berkata, tindakan yang hanya mengetengahkan kelewatan projek tanpa mengangkat perkembangan positif selepas ia siap adalah tidak adil, sedangkan Kerajaan Negeri berusaha memastikan projek berkenaan dapat diselesaikan.
“Masa tak siap, dia hurung hari-hari. Lambat lepa dia terpa mai. Masa siap tak mai pula… Mai lah. Tak kan nak kena kata sampai macam tu.
“Nak jadi menteri kena bersikap adil. Nak jadi ceplos, letak jawatan, jawab Tik Tok,” katanya.
Sanusi turut ‘menjemput’ Akmal Nasrullah supaya hadir ke LRA Jenun Baru dan menghasilkan video TikTok bagi memaklumkan kepada rakyat bahawa LRA Jenun Baru sudah siap, sebagaimana beliau sebelum ini membuat kandungan berkaitan projek yang belum siap.
“Harap dia datang dengan insaf, buat video di sini, ucap terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Negeri yang berupaya melaksanakan amanah ini.
“Saya perlu beri penjelasan supaya rakyat dapat berfikir. Kenapa sewaktu tak siap, gambaran negatif tiap-tiap hari dihambur. Bila siap, benda-benda positif tidak diangkat. Itu tak adil.
“Saya bangkitkan sebab gambaran negatif LRA yang ditimbulkan tak ada sangkut paut dengan dia. Kelulusan projek bukan zaman dia. Kebetulan dia pernah jadi Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), masa tu adalah kaitan, dia jaga projek. Selepas pergi Kementerian Ekonomi, tiada kaitan. Jadi tak payahlah sibuk lebih-lebih,” katanya.
Tambah beliau, penyerahan LRA Jenun Baru merupakan perkembangan penting kerana membuktikan Kedah berupaya memastikan projek berkenaan dapat disiapkan.
Katanya, daripada lima projek LRA diluluskan untuk Kedah dengan keseluruhan kos RM931 juta, sebanyak tiga telah siap dilaksanakan.
“Bila sebut Kedah, orang kata projek tak siap, asyik umum sahaja. Kini Kedah buktikan sebaliknya, kita sudah siapkan tiga daripada lima LRA.
“Di tempat lain ada projek tak siap, tapi tak pernah ‘hayun’ macam mereka buat pada kita. Kita pun tak berhasrat hayun balas. Kita buktikan dengan buat kerja sampai jadi,” katanya.
Menurut Sanusi, kelulusan lima projek LRA dibuat pada 2021 selepas proses migrasi industri bekalan air kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) diselesaikan susulan keperluan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA).
Beliau jelaskan, kelewatan pelaksanaan projek bukan berpunca daripada kegagalan Kerajaan Negeri memilih kontraktor kerana proses pelantikan dibuat menerusi tender terbuka, sebaliknya dipengaruhi beberapa kekangan termasuk pandemik Covid-19 dan kenaikan harga bahan binaan.
Katanya, pelaksanaan projek yang sepatutnya disiapkan dalam tempoh dua tahun terjejas apabila sektor tidak penting tidak dibenarkan beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), selain kenaikan harga besi yang menjadi bahan penting dalam pembinaan jajaran paip.
“Ketika Covid-19, projek-projek menjadi perlahan. Harga barang meningkat berkali-kali, terutama besi yang digunakan dalam pembinaan LRA dan jajaran paip.
“Bila kerja tak siap, konon kita tak reti pilih kontraktor, dia salahkan kita juga, sedangkan kontraktor dipilih menerusi tender terbuka, bukan saya pilih. Alhamdulillah, projek ini akhirnya siap,” katanya.
Sanusi turut menjelaskan, peruntukan projek infrastruktur bekalan air yang diterima Kedah bukan diberikan sewenang-wenangnya, sebaliknya tertakluk kepada peraturan pembiayaan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, projek bekalan air di kawasan luar bandar seperti Pendang dan Yan diperuntukkan melalui geran, manakala projek di kawasan bandar dilaksanakan menerusi pinjaman yang perlu dibayar balik oleh Kerajaan Negeri.
Tambahnya, sebahagian daripada pembiayaan lima projek LRA itu membabitkan pinjaman, manakala selebihnya merupakan geran.
“Bukan suka-suka Kerajaan Persekutuan bagi geran atau pinjaman. Ada peraturan yang menetapkan projek luar bandar diberikan geran, manakala kemudahan infrastruktur di kawasan bandar dibuat melalui pinjaman.
“Bukan kerana hang baik. Janganlah mengelirukan orang ramai. Cakaplah benda betul. Saya hanya jelaskan kekeliruan.
“Contoh LRA Pelubang, kita pinjam sebab hantar air ke bandar seperti Alor Setar, Kuala Kedah, Jerlun dan Bukit Kayu Hitam untuk SBEZ, dan kita kena bayar balik.
“Tak payahlah pusing. Orang di Kedah dalam tempoh enam tahun selepas kita bercakap perkara-perkara asas dalam pemerintahan, mereka sudah faham,” katanya.

No comments:
Post a Comment