Sany usik Radzi isu gelar 13 MP ‘sign’ CSA ‘Dajal’, Howard Lee persoal kewarasan

 




Perbahasan mengenai Perjanjian Persefahaman Kerjasama (CSA) di Dewan Rakyat bertukar hangat apabila penggunaan gelaran “Dajal” terhadap 13 Ahli Parlimen yang menandatangani perjanjian itu dibangkitkan, Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamsan.

Dalam perbahasan itu, Sany meminta pendapat Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Dr Radzi Jidin yang termasuk dalam 13 ahli parlimen terkini  menandatangani CSA. 

Dalam responsnya Radzi membangkitkan keperluan kerajaan mendedahkan kandungan CSA kepada umum supaya rakyat dapat menilai sendiri tujuan dan syarat perjanjian tersebut

“… tuduhan melabel Ahli Parlimen yang menandatangani CSA sebagai Dajal bukan perkara kecil kerana istilah itu membawa maksud yang sangat berat,”katanya.

Beliau turut menggesa kerajaan menyiarkan dokumen CSA berkenaan, termasuk perbandingan dengan perjanjian seumpamanya yang pernah dibuat ketika pentadbiran terdahulu.

Menurutnya, keputusan menandatangani CSA perlu dilihat dalam konteks keadaan semasa yang menyaksikan dunia berdepan pelbagai konflik dan ketidaktentuan ekonomi, termasuk perang Iran, perang Ukraine serta perang dagang.

Katanya, kestabilan politik sekurang-kurangnya sehingga pilihan raya akan datang penting bagi memastikan ekonomi negara dan kepentingan rakyat tidak terjejas.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee kemudian mengambil bahagian dalam perbahasan dengan menegaskan istilah berkenaan mempunyai konotasi yang amat berat.

Howard berkata, meskipun beliau bukan beragama Islam, beliau berminat mengkaji istilah tertentu dan berpandangan ahli Parlimen perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan bahasa.

Beliau mempersoalkan kewajaran seseorang menggunakan gelaran Dajal terhadap 13 Ahli Parlimen hanya kerana mereka menandatangani CSA.

Howard turut melontarkan persoalan sama ada tindakan menggunakan istilah sedemikian menunjukkan pertimbangan yang wajar, malah membangkitkan isu kewarasan akal dalam konteks perbahasan politik.

Kontroversi itu tercetus selepas Presiden Pas, Abdul Hadi Awang pada 3 November menyifatkan CSA antara kerajaan dengan 13 Ahli Parlimen pembangkang sebagai “pendekatan Dajjal pada akhir zaman”. Hadi mendakwa perjanjian itu menjadikan kuasa bukan lagi suatu amanah, sebaliknya satu cara untuk terus berkuasa melalui paksaan. 

Kenyataan Hadi itu merujuk kepada CSA yang dimeterai kerajaan pada 29 Oktober lalu dengan 13 Ahli Parlimen, termasuk enam wakil Bersatu, enam bekas Ahli Parlimen Bersatu dan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Perjanjian itu antara lain membolehkan mereka menyokong kerajaan sehingga tamat penggal Parlimen semasa, termasuk dalam undian Belanjawan 2027. 




No comments: