Projek RM9 bilion tak tender, PMX dedah ada elemen ‘sakau’ dalam skandal saluran paip Sabah!

 


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, siasatan berhubung projek Trans Sabah Gas Pipeline (TSGP) dan Multi Product Pipeline (MPP) masih belum ditutup meskipun berdepan kesukaran mendapatkan maklumat kerana membabitkan dua negara.

Beliau berkata, projek berkenaan mempunyai kelemahan tadbir urus yang besar apabila perjanjian bernilai RM9 bilion dibuat tanpa tender dan ketelusan, selain menetapkan syarat pembayaran walaupun kemajuan fizikal projek tidak dicapai mengikut tahap sepatutnya.

“Betul dana itu asalnya untuk Sabah. Tetapi oleh kerana kegagalan dan memang salah laku yang besar kerana perjanjian melibatkan RM9 bilion tak ada tender dan tidak ada ketelusan.

“Syarat perjanjian itu sangat aneh. Projek boleh dijalankan mesti dibayar walaupun tidak ada progres kemajuan projek tahap-tahapnya,” katanya ketika menjawab soalan ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Anwar berkata, kes berkenaan mula disiasat pada 2016 sebelum diangkat semula pada 2018, namun proses siasatan berdepan cabaran kerana turut melibatkan maklumat dari dua negara.

Beliau menegaskan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak ditutup, sebaliknya masih memerlukan maklumat tambahan bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

“Saya tidak anggap perkara ini ringan. Bila saya dapat laporan tentang siasatan, memang tetap ada elemen sakau, tak boleh nafikan,” katanya.

Menurut Anwar, kerajaan berdepan kesukaran mendapatkan keseluruhan maklumat berkaitan kes itu kerana sebahagian daripadanya melibatkan pihak di luar negara.

Dalam perkembangan sama, beliau menjelaskan penamatan projek berkenaan pada 2018 tidak bermakna negara terlepas daripada tanggungan kewangan yang timbul akibat perjanjian terdahulu.

Sebaliknya, Malaysia masih menanggung obligasi pembayaran balik pinjaman kira-kira RM8 bilion meskipun projek berkenaan tidak dilaksanakan.

Anwar berkata, pengalaman tersebut sepatutnya menjadi pengajaran kepada kerajaan supaya kelemahan tadbir urus dan ketirisan dana awam tidak berulang sehingga menyebabkan negara menanggung kerugian berbilion ringgit.

Beliau turut mengingatkan bahawa usaha mengambil tindakan terhadap pihak yang bertanggungjawab sering berdepan pelbagai reaksi, termasuk dakwaan kerajaan bertindak atas dasar dendam politik.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan perlu bertegas dalam memastikan setiap projek pembangunan dilaksanakan mengikut peraturan, ketelusan dan kepentingan rakyat.

Terdahulu, ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin  membangkitkan status siasatan projek TSGP dan MPP serta mencadangkan supaya dana yang berjaya diperoleh semula digunakan untuk membantu Sabah membangunkan projek Southern Link bagi memperkukuh bekalan elektrik di kawasan pantai timur negeri itu.

Menjawab perkara itu, Anwar berkata kerajaan telah meluluskan pembiayaan RM765 juta bagi projek talian penghantaran elektrik Southern Link yang menghubungkan kawasan pantai barat dan timur Sabah.

Selain itu, kerajaan turut melaksanakan projek sistem penyimpanan tenaga bateri di Lahad Datu bernilai RM644 juta yang dimulakan sejak Jun 2025 serta projek hidroelektrik Ulu Padas bernilai RM4 bilion dengan kapasiti penjanaan 187.5 megawatt.

Projek Ulu Padas disasarkan mula beroperasi pada 2030 sekiranya pelaksanaannya berjalan lancar, sekali gus diharap dapat membantu menjamin kestabilan bekalan elektrik di Sabah.




No comments: