
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjawab soalan pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 3 November 2026. Foto Parlimen Malaysia
KUALA LUMPUR, 3 Nov – Ancaman geopolitik luar menerusi serangan siber termasuk rejim Zionis Israel yang berpangkalan di beberapa negara, disentuh Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mencadangkan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan taklimat khas secara tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam masa terdekat.
Semasa menjawab soalan tambahan Ronald Kiandee (PN-Beluran) ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri bagaimanapun berkata, cadangan itu tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak di Parlimen.

Perkara tersebut penting menurut Perdana Menteri yang menjelaskan, ia setelah maklumat risikan berdasarkan maklumat yang diperoleh petang semalam serta daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pagi tadi dan ancaman tersebut tidak boleh dipandang ringan.
“Saya boleh minta Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara untuk memberikan taklimat khas dan tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh satu dua hari ini kalau dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Saya percaya perkara ini sangat penting kerana daripada maklumat yang diperoleh petang semalam dan juga pagi tadi daripada Menteri Dalam Negeri juga, hari ini jangan kita pandang ringan,” ujar Anwar.
Ronald bertanya kepada Perdana Menteri sama ada Malaysia menjadi sasaran berdasarkan maklumat risikan sedia ada serta sejauh mana ancaman berkenaan terhadap negara.
Menjawab soalan berkenaan, Anwar yang juga Menteri Kewangan menjelaskan, tidak semua maklumat berkaitan perkara mengenai keselamatan negara boleh didedahkan kepada umum.
Bagaimanapun, untuk taklimat keselamatan negara, -Anwar memohon kerjasama Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN menyampaikan taklimat berkenaan.
“Saya pohon kerjasama semua Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberikan ruang kepada MKN dalam tempoh satu dua hari untuk mendengar sendiri perkembangan mutakhir,” katanya.
Terdahulu sidang diberitahu terdapat ancaman serangan siber yang serius membabitkan rejim berkenaan dipercayai dilakukan di Phuket dan beberapa tempat di Thailand sejak kebelakangan ini.


No comments:
Post a Comment