Kerajaan MADANI Tunai Janji, Terminal Feri Kuala Kedah Tambah Kapasiti

 


IMG_9839

Anthony Loke bersama Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika memulakan pelancaran projek membina dan menaik taraf Terminal Feri Kuala Kedah di Alor Setar pada 31 Mei 2023. Foto Teh Swee Leong

ALOR SETAR, 2 Nov – Dengan siapnya terminal penumpang baharu di Kuala Kedah, yang dijangka memulakan operasi menjelang akhir tahun hadapan yang mampu menampung sehingga 3,000 penumpang sehari, bakal menjadikan Langkawi kekal menjadi destinasi pelancongan utama negara menerusi jalan laut.

Kerajaan MADANI telah menunaikan janjinya menambah kapasiti penumpang berbanding dengan cakap-cakap kerajaan Kedah yang tidak membuahkan apa-apa hasil walaupun telah memerintah sejak 2020.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, kapasiti itu meningkat lebih tiga kali ganda daripada keupayaan ketika ini, sekali gus memperkukuh hubungan maritim antara tanah besar Kedah dengan pulau pelancongan terkemuka itu.

Keluhan pengunjung dan mereka yang mempunyai keluarga di pulau berkenaan akhirnya kini dilaksanakan sejak projek berkenaan dimulakan beberapa tahun lalu.

Dengan siapnya terminal baharu tesebut akan menempatkan sehingga tiga bot penumpang berkapasiti besar berlabuh serentak sekali gus mengurangkan masa menunggu penumpang sama ada mahu ke pulau itu atau ke Kuala Kedah.

“Bayangkan kalau 3,000 penumpang sehari, bukan sahaja operator feri mendapat manfaat, malah peniaga di sekitar kawasan ini juga berpeluang untuk menjana pendapatan,” katanya.

Kerja-kerja membina dan menaik taraf terminal penumpang, terminal kargo bagi barangan pukal dan roll-on roll-off (RORO) itu dimulakan pada 2024 dengan kos sebanyak RM245 juta menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang mampu menambah pergerakan ekonomi buat rakyat di negeri itu.

Mengulas pelaksanaan projek itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merangkap Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah berkata, projek itu merupakan antara 501 projek pembangunan fizikal dan bukan fizikal Kerajaan Persekutuan di Kedah yang dibayai sepenuhnya.

Tidak lagi perlu menanti ‘bulan dan bintang’ daripada Muhammad Sanusi Md Nor yang entah bila kunjung tiba, kini terminal yang tersergam indah itu akan menerima wajah baharu menjelang suku ketiga tahun depan.




No comments: