Pendirian menerima Confidence and Supply Agreement (CSA) yang sebelum ini ditolak kembali menjadi perhatian apabila bekas Setiausaha Sulit Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Dr Marzuki Mohamad tampil menjelaskan perbezaan syarat antara persefahaman terdahulu dengan perjanjian yang diterima sekarang.
Menurut Marzuki, penolakan sebelum ini bukan bermaksud pihaknya menolak konsep CSA secara keseluruhan, sebaliknya berpunca daripada syarat-syarat yang dianggap terlalu banyak dan tidak boleh diterima.
Antara perkara yang dipersoalkan ketika itu ialah syarat yang didakwa menghalang pembangkang daripada membangkitkan isu berkaitan kaum, agama dan institusi Raja-Raja Melayu.
Bagaimanapun, beliau mendakwa syarat sedemikian tidak lagi terkandung dalam persefahaman terbaharu, sekali gus menjadikan pendekatan terhadap CSA kali ini berbeza daripada sebelumnya.
Malah, Marzuki berkata, perjanjian berkenaan turut memasukkan komitmen kerajaan untuk melaksanakan reformasi institusi serta memperkasakan agenda Bumiputera.
“Jadi, apa salahnya diterima,” katanya dalam kenyataan yang dikongsikan menerusi media sosial.
Beliau turut menjawab kritikan pihak yang membangkitkan perubahan pendirian berhubung CSA, dengan menegaskan bahawa perbezaan syarat menjadi asas kepada keputusan menerima persefahaman tersebut kali ini.
Dalam masa sama, Marzuki mengingatkan penyokong politik yang tidak bersetuju supaya tidak meninggalkan komen menggunakan bahasa kesat atau kata-kata tidak senonoh pada hantarannya.
“Saya nak ingatkan walaun jangan komen posting saya. Kalau komen dengan kata-kata tak senonoh berdosa,” katanya sinis.
Penjelasan itu sekali gus membuka semula perbahasan mengenai pendirian politik terhadap CSA, khususnya sama ada perubahan syarat yang didakwa berlaku benar-benar menjadi faktor utama penerimaan persefahaman tersebut

No comments:
Post a Comment