
Ahmad Zahid sepatutnya menasihati calon-calon BN sendiri agar tidak menyalahgunakan agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memancing undi. Foto IPD Jasin
MELAKA, 3 Nov – Ahmad Zahid Hamidi dinasihatkan tidak ‘menormalisaikan’ penyelewengan dan salahguna agensi kerajaan berhubung isu pemberian bantuan membabitkan calon Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ketika ini.
Sebaliknya, beliau selaku Pengerusi BN sepatutnya menasihati calon-calonnya sendiri agar tidak menyalahgunakan agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memancing undi sepanjang tempoh berkempen sehingga 11.59 malam, 13 November depan.
Menurut penganalisis tempatan, alasan Ahmad Zahid dipercayai ditujukan kepada Pakatan Harapan (PH) kononnya mencari alasan terdesak dalam menghadapi persaingan, tidak wajar diungkap kerana perlanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 jelas berlaku.
Terdahulu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, beliau tidak melihat isu berkenaan (sogokan) sebagai satu masalah memandangkan parti lain juga mengadakan program yang dihadiri menteri dan timbalan menteri.

“Kalau sesuatu kumpulan itu berasa terdesak, mereka akan mencari pelbagai alasan dan pelbagai perkara.
“Ya, kerana mungkin mereka sangat terdesak dan saya tidak fikir itu perlu kita gembar-gemburkan,” dakwanya.
Isu berkenaan timbul apabila Pakatan Harapan (PH) membuat laporan polis terhadap calon BN di DUN berkenaan, Datuk Khaidirah Abu Zahar atas dakwaan berkempen menggunakan premis dan jentera kerajaan.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Siti Aishah Shaik Ismail berkata, laporan polis penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rim itu dibuat oleh wakil PH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, semalam.
Siti Aishah berkata, Khaidirah didakwa melakukan perbuatan itu semasa hadir pada majlis penyampaian sumbangan kepada kira-kira 30 penerima bersempena dengan sambutan Deepavali, dan segala bukti bergambar serta rakaman berkaitan perkara itu telah diserahkan kepada pihak polis.
“Kita juga dapati bakul makanan yang beliau berikan ada tertera tulisan MPJ (Majlis Perbandaran Jasin), maknanya itu aset (sumbangan) kerajaan,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PH DUN Rim di sini, semalam.

No comments:
Post a Comment