Pengerusi Pakatan Harapan Sabah Datuk Mustapha Sakmud menyelar kenyataan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang cuba menyamakan pendekatan Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) dengan watak “Dajal”.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) menegaskan supaya tidak memperalat sentimen agama sebagai senjata mempertikai strategi lawan, malah label sedemikian amat asing serta boleh mengelirukan umat Islam.
“Apakah apabila hujah politik tidak lagi mencukupi, istilah akhir zaman pula perlu dijadikan senjata?
“CSA boleh dibahaskan secara rasional dalam kerangka demokrasi berparlimen tanpa perlu mengheret sentimen agama untuk memburukkan pihak yang berbeza pandangan,” kata beliau dalam kenyataan semalam.
Beliau berkata pendekatan CSA juga pernah dilaksanakan ketika Pas berada dalam barisan Kerajaan Persekutuan sekali gus mempersoalkan kewajaran melabel instrumen itu secara negatif.
Mustapha berkata kepelbagaian agama, bangsa serta latar belakang budaya sekian lama menjadi tonggak utama yang menyatukan masyarakat majmuk di Sabah, dan bukannya dijadikan alasan untuk mencetuskan permusuhan.
“Bagi rakyat Sabah, budaya melabel sesama Muslim dengan gambaran seburuk itu hanya kerana berbeza pendirian politik amat janggal dan sukar diterima.
“Agama sepatutnya menyatukan, bukan memecah-belahkan, dan Sabah tidak perlu diajar tentang perpaduan oleh mereka yang masih gemar melabel sesama sendiri,” katanya.
Sehubungan dengan itu, beliau menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus mempertahankan keharmonian sedia ada dan menolak sekeras-kerasnya amalan politik sempit yang mengeksploitasi agama demi kepentingan kuasa selain menekankan semua pihak wajar mencari titik kebersamaan dalam memelihara kesejahteraan.

No comments:
Post a Comment