CASH IS KING

 



Masih ingat ungkapan “Cash is King” yang pernah didedahkan Tun Dr Mahathir Mohamad? Dulu kecoh satu Malaysia apabila Tun M menceritakan bagaimana Najib sendiri pernah menyebut ungkapan itu kepadanya.






Najib kemudian mengakui memang pernah menyebut “Cash is King”, tetapi menjelaskan maksudnya bukan membeli sokongan atau merasuah sesiapa. Katanya, ia merujuk kepada bantuan tunai seperti BR1M untuk rakyat.


Hari ini, ungkapan lama itu kembali menarik perhatian apabila UMNO berjaya mengumpul RM50 juta melalui Tabung Solidariti Najib bagi membayar denda bekas presidennya.


Selepas bayaran diselesaikan, Mahkamah Tinggi mengeluarkan perintah membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah, tertakluk kepada proses dan syarat yang ditetapkan.


Memanglah RM50 juta itu bayaran denda yang sah, bukannya membeli kebebasan. Najib juga masih berstatus banduan yang menjalani hukuman, cuma lokasi tahanannya bakal berubah.


Tetapi dari sudut persepsi rakyat, sukar juga hendak mengelakkan persoalan. Berapa ramai banduan biasa yang mempunyai sokongan parti politik dan tabung khas sehingga mampu mengumpul RM50 juta?


Menariknya, PMX Anwar Ibrahim sendiri secara terbuka menyatakan beliau secara peribadi tidak bersetuju dengan tindakan UMNO membayar denda tersebut. Katanya, jangan sampai rakyat mendapat gambaran bahawa kegiatan rasuah bernilai berbilion ringgit boleh dibiarkan begitu sahaja.


Dan di sinilah sindiran Tun M dahulu kembali relevan. Ungkapan yang pernah menjadi perdebatan politik lebih sedekad lalu kini muncul semula dalam keadaan yang cukup berbeza.


Tun M mungkin dahulu bercakap tentang pengaruh wang dalam politik. Hari ini rakyat pula melihat bagaimana RM50 juta menjadi salah satu syarat yang membuka jalan kepada tahanan rumah seorang bekas Perdana Menteri.


“Cash is King” mungkin sekadar ungkapan, tetapi episod RM50 juta ini pasti menghidupkan semula perdebatan tentang wang, kuasa dan keadilan.


#ahmadmursi #NajibRazak #CashIsKing #PolitikMalaysia





No comments: