AKAN ADA PENERANGAN MALAM INI.

 






MELAKA, 5 Nov - Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mencabar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim supaya menggunakan peluang berucap pada majlis Makan Harapan, iaitu majlis makan malam kutipan dana pilihan raya DAP di Melaka untuk menjawab beberapa isu berbangkit, malam ini. 


Pemimpin BERSAMA, Lee Chean Chung berkata, Anwar perlu mengambil kesempatan itu bagi memberikan penjelasan terhadap perkara yang dibangkitkan pemimpin DAP serta masyarakat Cina, bukan sekadar menyampaikan ucapan kempen. 


Antara isu yang dibangkitkan termasuk desakan DAP supaya minit mesyuarat Lembaga Pengampunan berhubung keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara secara tahanan di rumah didedahkan kepada umum. 


Selain itu, DAP turut mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan skandal mafia korporat serta menuntut penyelesaian kes kematian Teoh Beng Hock. 


Lee juga membangkitkan kebimbangan masyarakat Cina berhubung cadangan pengurangan waktu pengajaran bahasa Mandarin bagi murid Tahun Satu dan Dua di SJKC daripada 12 kepada 10 waktu seminggu menerusi kurikulum baharu tahun depan.


Sementara itu, majlis makan malam yang bakal berlangsung di Dewan Sekolah Menengah Tinggi Pay Fong mendapat sambutan menggalakkan apabila kesemua 170 meja dilaporkan habis dijual, menurut Pengerusi DAP Melaka, Khoo Poay Tiong. 


Selain Anwar, pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dijadual menyampaikan ucapan termasuk Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.


Kredit: Malaysiakini


#BeritaKS




No comments: