TERKINI: Saifuddin Nasution, Zaliha Dilantik Naib Presiden KEADILAN

 


Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilantik sebagai Naib Presiden KEADILAN berkuat kuasa mulai 6 Jun 2026.

BATU PAHAT, 6 Jun – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Sekijang, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dilantik sebagai Naib Presiden KEADILAN yang baharu.

Ketua Penerangan KEADILAN, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pelantikan itu diputuskan dalam mesyuarat Biro Politik KEADILAN yang diadakan di sini, hari ini.

“Ia (pelantikan itu) bagi mengukuh dan memantapkan lagi organisasi serta gerak kerja parti di peringkat pusat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Fahmi berkata Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN juga memutuskan Kongres Tahunan Keadilan yang pada awalnya dijadualkan 26 hingga 28 Jun ini, ditangguhkan ke 14 hingga 16 Ogos depan manakala lokasinya masih dikekalkan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh.

“Penangguhan ini dibuat bagi memberi ruang khususnya kepada KEADILAN Johor dan Negeri Sembilan untuk mempertingkat kesiap siagaan dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal berlangsung,” katanya.

Presiden KEADILAN yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dijadual melancarkan jentera PH negeri bagi PRU Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-16, malam ini.

Pemilihan Batu Pahat sebagai lokasi pelancaran jentera Pakatan Harapan (PH) Johor pada 6 Jun 2026 bakal membawa gelombang besar perubahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.

Sebelum itu, PH Johor mengumumkan bakal bertanding di semua 56 kerusi DUN pada PRU kali ini.

Pada PRU DUN Johor 2022, BN memenangi 40 kerusi DUN manakala PH (12), Perikatan Nasional (tiga) dan MUDA (satu).

DUN Johor dibubarkan pada 1 Jun lalu selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.



No comments: