5 Jun 2026
Kedudukan PAS dalam PN dan sama ada parti itu akan terus bekerjasama dengan Bersatu atau sebaliknya dijangka akan diketahui Isnin ini.
Presiden PAS, Haji Hadi Awang berkata sebelum ini Majlis Syura Ulama sudah bermuzakarah mengenai isu berkenaan dan menyerahkan kepada jawatankuasa pusat parti itu untuk menentukan tindakan yang wajar diambil.
Berkaitan hal tersebut – serta isu lain – semuanya kata Haji Hadi, akan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang akan diadakan pada Isnin nanti.
“Isnin ini insya-Allah akan bincang semua,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah duha mingguan di Marang, Terengganu.
Dalam perkembangan yang sama, Haji Hadi juga mengesahkan pertemuan PAS dan UMNO malam semalam di sebalik seruan menghidupkan kembali Muafakat Nasional (MN).
“Yang nak jumpa kita jumpa. Saya tidak terlibat tetapi (pertemuan) dimaklumkan kepada saya,” katanya.
Namun, Ahli Parlimen Marang itu sekadar menyifatkan ia hanya ‘pertemuan biasa’.
Berdasarkan dua perkembangan di atas, adalah dijangka hubungan PAS dan Bersatu akan berakhir bermula Isnin ini.
Keputusan itu diiyakini bertepatan dengan pendirian Haji Hadi sebelum ini yang mengatakan akan mengkaji hubungan PAS dengan Bersatu, selain memberi amaran “akan ajar” parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.
Hanya memutuskan hubungan dengan Bersatu dikira bertepatan dengan pendirian Haji Hadi itu.
Lagi pula, berikutan kecenderungan PAS ingin bekerjasama dengan UMNO, hanya dengan memutuskan hubungan dengan Bersatu saja dapat membuka jalan ke arah itu.
Selagi PAS bersama dengan Bersatu, tidak mungkin wujud sebarang kerjasama dengan UMNO.
Lantaran itu, jika PAS ingin hubungan dengan UMNO menjadi kenyataan, langkah awal yang perlu diambil adalah putus hubungan dengan Bersatu.
PAS tidak perlu ada sebarang kecurigaan lagi mengenai apa yang harus dilakukannya jika benar ia mahu berkawan dengan UMNO.
Lagi pun, sebagaimana disahkan oleh Haji Hadi, dua pemimpin PAS telah hadir dalam pertemuan dengan UMNO malam semalam.
Pertemuan itu berlaku ketika UMNO mengadakan mesyuarat Biro Politik di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Dengan itu, pertemuan tersebut bukanlah perjumpaan biasa disebut Haji Hadi, tetapi tentunya suatu pertemuan yang dikira luar biasa.
Memandangkan Hamzah Zainuddin akan membuat pengumuman mengenai parti baharunya pada 13 Jun ini, tiada keputusan lebih wajar diambil PAS Isnin ini melainkan menoktahkan hubungannya dengan Bersatu.
Jika PAS masih ingin bersama Bersatu, sia-sia dan buang masa sajalah Hamzah menubuhkan parti baharu dan suatu pembaziran jugalah parti itu bercakap ingin berbaik dengan UMNO demi penyatuan Melayu. - ShahbudinHusin 05Jun2026.
#inikalilah
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1303418881781228&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment