Usaha kerajaan menyatukan pelbagai perkhidmatan digital di bawah satu platform mula menunjukkan hasil apabila aplikasi MyGOV yang diperkenalkan sejak Ogos 2025 kini merekodkan lebih 2.2 juta pengguna di seluruh negara.
Lebih menarik, aplikasi itu bukan sahaja menjadi pintu masuk kepada pelbagai urusan kerajaan, malah bakal menawarkan penstriman langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 kepada pengguna yang berdaftar dengan MyDigital ID.
Dibangunkan oleh GovTech Malaysia di bawah Kementerian Digital, MyGOV kini menghimpunkan 51 perkhidmatan daripada 19 agensi kerajaan dalam satu aplikasi tunggal.
Antara perkhidmatan yang telah diintegrasikan ialah MySejahtera, MyJPJ, Semakan Harga Barangan Terpilih (PriceCatcher), Portal Manfaat serta Sumbangan Tunai Rahmah (STR), sekali gus mengurangkan keperluan rakyat memuat turun pelbagai aplikasi berasingan.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, pembangunan MyGOV akan diteruskan secara berperingkat bagi memastikan proses integrasi sistem dapat dilaksanakan secara mampan tanpa menjejaskan pengalaman pengguna.
“Hala tuju jangka panjangnya adalah untuk memperluas ekosistem perkhidmatan secara berfasa, bagi memastikan integrasi dilaksanakan secara mampan dan selaras dengan keperluan pengguna serta kesediaan sistem.
“Ini termasuk usaha mempertingkatkan akses kepada maklumat berkaitan perkhidmatan dan manfaat kerajaan dari semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan sama, Gobind mengumumkan bahawa MyGOV bakal menawarkan kemudahan penstriman langsung perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 sebagai nilai tambah kepada platform digital kerajaan.
Bagaimanapun, kemudahan itu hanya akan diberikan kepada pengguna yang mempunyai MyDigital ID yang sah.
Beliau berkata aplikasi berkenaan akan terus dipertingkatkan supaya kekal relevan, stabil dan mampu memenuhi keperluan pengguna yang semakin berkembang selaras dengan transformasi digital negara.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Datuk Fabian Bigar berkata pembangunan infrastruktur digital yang saling berhubung menjadi asas penting dalam mempercepatkan transformasi digital negara.
Menurut beliau, integrasi pelbagai platform kerajaan melalui MyGOV akan mewujudkan ekosistem data yang lebih tersusun dan saling beroperasi, sekali gus membuka ruang kepada penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) secara lebih meluas pada masa hadapan.
“Integrasi pelbagai platform kerajaan menerusi MyGOV membantu mewujudkan ekosistem data yang lebih tersusun dan saling beroperasi, sekali gus membuka ruang kepada pelaksanaan teknologi AI yang lebih meluas menjelang 2030,” katanya.
Selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM), kerajaan menjadikan MyGOV sebagai platform utama penyampaian perkhidmatan digital yang lebih pantas, cekap dan mesra rakyat.
Inisiatif itu juga dilihat sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan birokrasi pentadbiran dengan menghimpunkan pelbagai urusan kerajaan di bawah satu aplikasi yang lebih mudah diakses oleh orang ramai.
No comments:
Post a Comment