6 Jun 2026
Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan akan bertanding di semua 36 kerusi DUN pada PRN negeri akan datang, kata ketuanya Jalaluddin Alias.
Jalaluddin yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan berkata, keputusan bertanding solo itu sudah mendapat persetujuan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
“Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tempoh hari telah memutuskan untuk bertanding di semua kerusi DUN, jadi kita juga akan mengambil langkah yang sama.
“Pembahagian kerusi turut melibatkan MCA dan MIC, manakala jumlah kerusi yang akan ditandingi setiap parti akan diputuskan kemudian,” katanya.
Dalam erti kata lain, keputusan BN Negeri Sembilan adalah sama seperti ketetapan UMNO/BN Johor yang lebih dulu menetapkan keputusan untuk bertanding solo dengan meletakkan calon di semua kerusi di negeri itu.
Bermakna, dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan akan datang, UMNO/BN akan berlawan dengan PKR/PH sebagai musuh utama, walaupun kedua-dua gabungan saling bergenggam erat dalam kerajaan pusat.
Parti lain yang turut bertanding di Johor dan Negeri Sembilan ialah PN dan Bersama, namun fokus tumpuannya tentunya lebih kepada BN dan PH.
Di Johor, BN sedang berkuasa dan ingin mengekalkan kuasanya, manakala PH akan berusaha menjatuhkannya.
Di Negeri Sembilan pula, PH sedang berkuasa dan ingin mengekalkan kuasanya, sementara BN berusaha mahu menumbangkannya.
Siapa yang mampu kekal dan siapa yang akan tumbang amat menarik untuk sama-sama ditunggu keputusannya.
Di Johor, dengan pelbagai faktor kelebihan, UMNO/BN negeri itu yang dipimpin Onn Hafiz Ghazi dijangka tidak berdepan kesukaran mengekalkan kemenangan seperti yang dicapai pada PRN 2022 lalu.
Mungkin yang menjadi persoalan hanyalah sama ada kemenangan 40 kerusi DUN atau majoriti dua pertiga yang BN rangkul sekarang mampu dikekalkan atau tidak.
Jangkaan awalnya ialah UMNO/BN tetap menang di Johor.
Berbeza dengan Johor, PRN Negeri Sembilan bagaimanapun dijangka lebih panas berikutan kemelut antara Undang Yang Empat dengan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sehingga menyaksikan negeri itu kini mempunyai “dua Raja.
Selain Tuanku Muhriz Tuanku Munawir yang sekarang merupakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Undang Yang Empat pula semalam memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang ke-12.
Sehingga ada penentuan muktamad yang sukar dijangka bila masanya, Negeri Sembilan kini semacam mempunyai “dua Raja”.
Kata seorang kawan, inilah keunikan yang ada di Negeri Sembilan - Negeri ada sembilan, Seremban ada dua, Nilai ada tiga dan Raja pun sekarang ada dua.
Apa pun, PRN Negeri Sembilan juga merupakan ujian kepada UMNO/BN dan kepimpinan Jalaluddin Alias sebagai ketua UMNO/BN di negeri tersebut.
Jika UMNO/BN menang dan berjaya menewaskan PKR/PH di negeri tersebut, bukan saja kerajaan negeri akan bertukar tangan dan Jalaluddin paling mungkin berpeluang bergelar Menteri Besar, bahkan memberi harapan cerah adanya cahaya di hujung terowong dalam perjalanan UMNO di masa depan dan menuju PRU16.
Mampukah UMNO/BN melakukannya? - ShahbudinHusin 06Jun2026.
https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=1304224205034029&id=100063393840098
No comments:
Post a Comment