Mahkamah dah larang? : Setiausaha DKU cadang tindakan hina mahkamah


 


Pertikaian melibatkan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila Setiausaha DKU, Raja Norazli Raja Nordin mengumumkan hasrat untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap pihak yang didakwa terlibat dalam pelantikan seorang “Yang di-Pertuan Besar” walaupun wujud perintah injunksi daripada Mahkamah Tinggi.

Raja Norazli mendakwa tindakan tersebut dilakukan selepas mahkamah mengeluarkan perintah injunksi ad interim bagi mengekalkan status quo DKU serta kedudukannya sebagai Setiausaha DKU sementara menunggu pendengaran penuh kes berkenaan.

Menurut beliau, perintah itu diberikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain dalam saman pemula yang difailkan bagi menyelesaikan pertikaian berhubung bidang kuasa dan kebolehadilan kes tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata laporan media yang diterbitkan selepas keputusan mahkamah menunjukkan terdapat pihak yang tetap meneruskan proses yang didakwa melibatkan pelantikan seorang Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Sejak perintah injunksi ad interim tersebut diberikan, saya mendapati melalui laporan media bahawa plaintif terutamanya plaintif kedua terlibat dan atau mengambil bahagian dalam kononnya pelantikan seorang Yang di-Pertuan Besar yang didakwa dibuat di bawah Fasal 11 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Perkara ini dilaporkan berlaku selepas Mahkamah Tinggi memberikan perintah-perintah injunksi ad interim pagi tadi,” katanya dalam satu kenyataan.

Plaintif kedua yang dirujuk ialah Undang Luak Jelebu, Maarof Mat Rashad.

Menurut Raja Norazli, tindakan berkenaan menunjukkan percubaan terbuka untuk mengingkari perintah mahkamah yang masih berkuat kuasa.

Justeru, beliau berkata peguamnya telah menghantar surat kepada peguam yang mewakili pihak plaintif bagi memaklumkan bahawa beliau merizabkan hak untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah.

“Tindakan ini perlu bagi memelihara integriti perintah mahkamah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa langkah tersebut adalah tambahan kepada prosiding penghinaan mahkamah yang telah difailkan sebelum ini terhadap pihak plaintif berhubung beberapa tindakan yang didakwa dilakukan sejak perbicaraan pertama kes tersebut pada 13 Mei lalu.

Prosiding berkenaan dijadualkan didengar pada 7 Julai depan.

Terdahulu, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan injunksi ad interim terhadap enam plaintif dalam pertikaian melibatkan DKU Negeri Sembilan.

Perintah itu antara lain menghalang mereka daripada memanggil atau mengadakan sebarang mesyuarat termasuk Sidang Khas yang dijadualkan berlangsung pada hari yang sama.

Selain Maarof, lima lagi plaintif yang terlibat ialah bekas Undang Luak Sungai Ujong, Mubarak Thahak; Undang Luak Johol, Muhammed Abdullah; Undang Luak Rembau, Abdul Rahim Yasin; Tunku Besar Tampin, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri; serta Shahbandar Sungai Ujong, Badarudin Abdul Khalid.

Perkembangan terbaru ini menyaksikan pertikaian institusi adat Negeri Sembilan bukan sahaja beralih ke gelanggang mahkamah, malah kini berpotensi melibatkan tindakan penghinaan mahkamah yang boleh membawa implikasi undang-undang lebih serius terhadap pihak-pihak terbabit.



No comments: