PDRM jelaskan apa sebenarnya berlaku di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin

 


Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan kehadiran anggota polis di kawasan pintu masuk Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin semalam bukan untuk menyebelahi mana-mana pihak, sebaliknya bagi memastikan keselamatan awam dan pematuhan kepada undang-undang.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Alzafny Ahmad berkata, penugasan anggota dan pegawai polis dibuat selepas pihaknya menerima maklumat mengenai kehadiran orang ramai di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, Ketua Polis Daerah Tampin kemudiannya mengatur penugasan bagi melaksanakan kawalan keselamatan serta memantau keadaan semasa di lokasi terbabit.

“Langkah ini bertujuan memastikan ketenteraman awam, keselamatan orang ramai dan kelancaran situasi di kawasan berkenaan.

“Tindakan yang diambil adalah selaras dengan fungsi dan tanggungjawab PDRM sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 bagi memelihara keamanan, keselamatan dan ketenteraman awam serta mencegah berlakunya sebarang perlakuan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau turut menjelaskan bahawa pihak polis telah menerima satu salinan perintah mahkamah berkaitan perkara tersebut dan akan terus menghormati proses perundangan yang sedang berjalan.

Katanya, segala tindakan yang diambil oleh polis adalah berlandaskan peruntukan undang-undang tanpa memihak kepada mana-mana pihak yang terlibat.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya bertenang dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam atau menjejaskan proses yang sedang berlangsung.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa bertenang, mematuhi undang-undang dan tidak terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau mengganggu proses yang sedang berjalan,” katanya.

Ahmad Alzafny berkata keadaan keselamatan di lokasi ketika ini berada dalam keadaan terkawal, manakala pihak polis akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan keamanan serta kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.


No comments: