Kompromi, pemimpin Pas Perlis dapat banyak jawatan lantikan


 


Kemelut politik yang menggoncang  Pas Perlis sebelum ini dilihat memasuki fasa baharu apabila beberapa pemimpin kanan parti itu diumumkan menerima jawatan lantikan penting, sekali gus mencetuskan persoalan sama ada kompromi dalaman telah dicapai.

Menteri Besar Perlis, Datuk Abu Bakar Hamzah mengumumkan pelantikan empat pemimpin  Pas negeri ke beberapa jawatan strategik melibatkan penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) serta pejabat Menteri Besar.

Antara yang mendapat perhatian ialah Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil yang dilantik sebagai Penyelaras DUN Guar Sanji.

Turut diumumkan ialah Timbalan Yang Dipertua  Pas Kangar, Jamil Kamis sebagai Penyelaras DUN Bintong, manakala Pengerusi Lajnah Pendidikan  Pas Padang Besar, Abdul Aziz Ahmad dilantik sebagai Penyelaras DUN Chuping.

Pada masa sama, Ketua Dewan Muslimat  Pas Perlis, Husna Hashim pula diberikan tanggungjawab sebagai Setiausaha Akhbar di pejabat Menteri Besar.

“Dengan sukacitanya, saya ingin umumkan pelantikan Husna Hashim sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Besar.

“Untuk Penyelaras DUN Bintong, Jamil Kamis, Penyelaras DUN Chuping Abdul Aziz Ahmad dan Ustaz Ahmad Adnan Fadzil sebagai Penyelaras DUN Guar Sanji,” kata Abu Bakar ketika sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis.

Pelantikan itu dibuat selepas tercetusnya krisis politik yang menyaksikan tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Pas digugurkan keahlian parti kerana didakwa mengemukakan akuan bersumpah (SD) menarik sokongan terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Mohd Shukri Ramli.

Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Susulan tindakan itu, Speaker Dewan Undangan Negeri Perlis, Rus’sele Eizan mengisytiharkan berlaku kekosongan luar jangka bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan selepas keahlian mereka dalam  Pas terhenti.

Kemelut tersebut akhirnya membawa kepada pertukaran kepimpinan negeri apabila Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail memperkenankan pelantikan Abu Bakar Hamzah sebagai Menteri Besar menggantikan Mohd Shukri Ramli.

Bagaimanapun, pertikaian itu masih belum berakhir apabila tiga bekas ADUN berkenaan memfailkan saman pemula terhadap Speaker DUN Perlis bagi mencabar keputusan mengisytiharkan kekosongan luar jangka di kerusi masing-masing.

Pelantikan beberapa pemimpin  Pas ke jawatan strategik itu kini mengundang pelbagai tafsiran dalam kalangan pemerhati politik, termasuk andaian bahawa ia merupakan sebahagian daripada usaha menyusun semula kekuatan parti selepas krisis kepimpinan yang melanda Perlis.



No comments: