Reformasi SPRM bermula, beberapa pegawai kanan bertukar bulan ini

 


Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman. - Foto Bernama
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abd Halim Aman. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR: Rombakan dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah kepimpinan teraju baharu, Datuk Seri Abd Halim Aman bermula dengan beberapa pegawai kanan dilaporkan bertukar.

Difahamkan, rombakan dilaksanakan mulai bulan ini, iaitu kira-kira tiga minggu selepas Ketua Pesuruhjaya baharu dilantik berkuat kuasa 13 Mei lalu bagi menggantikan Tan Sri Azam Baki yang tamat kontrak secara rasmi selepas 42 tahun berkhidmat bersama SPRM.

Antara pertukaran itu membabitkan beberapa pegawai kanan gred Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA), termasuk bertukar penempatan. Ada dalam kalangan mereka pernah mengendalikan kes berprofil tinggi dan terbabit dalam usaha pemulihan aset serta dana yang diperoleh secara rasuah.

Menurut sumber, pertukaran yang dilaksanakan adalah proses biasa bagi memperkukuhkan lagi keupayaan SPRM dalam melaksanakan tugas pencegahan, penguatkuasaan dan penyiasatan rasuah secara lebih berkesan.


"Difahamkan setakat ini sekurang-kurangnya dua pegawai kanan terbabit (dalam pertukaran) dan kemungkinan ada pergerakan lagi, termasuklah menggantikan mereka yang bakal bersara tidak lama lagi," katanya kepada BH.

Current Time 0:00
Duration 4:10

Langkah reformasi agensi


Pertukaran berkenaan dilihat sebagai langkah awal agenda reformasi seperti pernah dinyatakan Abd Halim sebelum ini, bertujuan memperkukuh keupayaan dan keberkesanan SPRM pada masa hadapan.

Rabu lalu, agensi itu menerima kehadiran Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan yang baharu apabila Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan II di Jabatan Peguam Negara (AGC), Saiful Hazmi Mohd Saad bertukar jawatan dengan Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Pertukaran berkenaan bagaimanapun dilaksanakan lebih awal sebelum Abdul Halim dilantik menerajui suruhanjaya terbabit dengan Wan Shaharuddin bertukar ke AGC berkuat kuasa 2 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan ketika mengambil alih tugas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim bertekad memastikan agensi itu bertindak dengan ketegasan lebih mutlak, keadilan saksama dan tanpa kompromi terhadap mana-mana pihak yang menyalahgunakan kuasa tanpa mengira pangkat, kedudukan mahupun pengaruh.

Katanya lagi, bagi memulihkan keyakinan masyarakat terhadap SPRM, pihaknya akan memperhebat aspek penguatkuasaan, mempertingkat ketelusan dan memastikan setiap siasatan dilaksanakan pada tahap profesionalisme tertinggi dengan keadilan menyeluruh.

"Pada masa sama, SPRM akan memastikan langkah pencegahan terus diperkasa, perlindungan terhadap pemberi maklumat akan diperkukuh, selain kerjasama strategik dengan semua pihak berkepentingan akan dipertingkat demi menyemai budaya integriti dalam negara.

"Pemulihan keyakinan masyarakat ini bukan satu pilihan tetapi tuntutan yang tidak boleh ditangguhkan bagi memastikan SPRM kekal teguh, telus dan bertanggungjawab berpaksikan sepenuhnya kepada kedaulatan undang-undang," tambah Abd Halim.

Dilantik bagi tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa sehingga 12 Mei 2028, Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu juga dipetik berkata, beliau akan komited untuk terus melaksanakan reformasi dan memperkukuh agensi berkenaan.

"SPRM juga akan terus memperkukuhkan kerjasama strategik yang sedia terjalin dengan AGC, membabitkan kes berskala besar, berprofil tinggi dan berkepentingan umum.

"Kes-kes berkenaan akan sentiasa dirujuk kepada AGC selaku pihak berkuasa yang memutuskan tindakan undang-undang ke atas kes-kes disiasat SPRM," kata bekas Ketua Hakim Mahkamah Tinggi itu.




No comments: