HUBUNGAN DENGAN BERSATU TAK BOLEH LAGI DISELAMATKAN, PAS KELUAR PN?




 3 Jun 2026


Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat semalam membuat keputusan untuk menyerahkan isu hala tuju PN dan konflik hubungan parti itu dengan Bersatu kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat untuk  mengambil sebarang tindakan.


Setiausahanya, Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman  Bersatu yang dilihat memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju PN dalam membawa agenda penyatuan ummah.


"Dalam hal ini, Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa PAS akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendukung agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok.


"Sehubungan itu, Majlis Syura Ulama telah membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat bagi mengambil tindakan yang sewajarnya selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti,” katanya dalam satu kenyataan.


Berdasarkan keputusan itu, adalah dirasakan hubungan PAS dengan Bersatu akan berakhir tidak lama lagi.


Berbekalkan keputusan Majlis Syura Ulama yang menyerahkan kembali kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang diketuai Haji Hadi Awang untuk mengambil sebarang tindakan dalam soal hubungan dengan Bersatu, bermakna sekarang Presiden PAS itu telah beroleh mandat penuh untuk membuat apa-apa keputusan muktamad.


Sebagaimana bukan lagi lagi rahsia, Haji  Hadi  sebelum ini memaklumkan hubungan antara partinya dan Bersatu akan dikaji semula dan perkara itu akan diteliti oleh Majlis Syura Ulama PAS.


Tetapi dengan mandat dikembalikan kepada Haji Hadi untuk mengambil sebarang tindakan, ia tidak mungkin membawa kepada tindakan U-Turn.


Mengambil kira kepimpinan Haji Hadi yang dikenali tegas dan kenyataan awalnya sebelum ini yang menyebut “kita akan ajar Bersatu”, tidak lain apa yang bakal berlaku ialah putusnya hubungan dengan parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu.


Dengan mandat penuh sudah ada padanya, manakala kepimpinan Haji Hadi juga mendapat sokongan 100%, beliau kini dalam laluan mudah dan selesa untuk mengambil tindakan putus hubungan itu.


Dijangka keputusan putus hubungan itu akan dilakukan sebelum berlangsungnya PRN Johor.


Langkah yang difahamkan bakal diambil oleh PAS ialah keluar daripada PN dan memutuskan hubungan dengan Bersatu secara serta-merta.


Dengan ini, bermula di PRN Johor,  Bersatu akan bertanding sendirian atas tiket PN tanpa sebarang bantuan jentera daripada PAS.


PAS pula dijangka akan menyertai PRN Johor bersama jajaran baharu yang kini disebut-sebut dalam proses akhir rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan.


Sama-sama kita tunggu episod seterusnya - ShahbudinHusin 03Jun2026.

#SemuanyaDenganIzinAllah




No comments: