‘Melayu Bersatu’ hanya slogan, parti Melayu sibuk bergaduh sesama sendiri


 


Seruan penyatuan Melayu yang sering dilaungkan pelbagai parti politik Melayu disifatkan sekadar retorik apabila pihak yang paling lantang memperjuangkannya dilihat terus bertelagah sesama sendiri.

Ahli Jawatankuasa Pimpinan AMANAH Nasional, Zamir Ghazali berkata, realiti politik semasa menunjukkan parti-parti yang mendakwa mahu menyatukan orang Melayu sebenarnya gagal mencapai persefahaman walaupun dalam kalangan mereka sendiri.

Menurut beliau, Umno, Bersatu dan Pas masing-masing mempunyai slogan serta gagasan tersendiri mengenai perpaduan Melayu.

Namun, katanya, hubungan antara parti-parti tersebut terus dibayangi konflik, perebutan pengaruh dan pertikaian politik.

“Parti Umno mahu Melayu bersatu dengan seruan Rumah Bangsa tetapi secara prinsipnya tidak mahu Bersatu.

“Bersatu pula mahu Melayu bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN) tetapi tidak mahu Umno.

“Pas pula bercakap soal Muafakat Nasional dan penyatuan ummah tetapi pada masa sama berkonflik dengan Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau juga secara sinis mempersoalkan bagaimana slogan penyatuan Melayu boleh dipercayai rakyat jika pihak yang mengemukakannya terus bergaduh sesama sendiri.

Kemelut PN

Zamir turut merujuk beberapa perkembangan politik semasa termasuk kemelut dalam PN, pergolakan politik di Perlis serta episod ketidakstabilan politik yang membawa kepada pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dan Johor.

Katanya, semua perkembangan tersebut menunjukkan pertelagahan politik Melayu masih berterusan walaupun slogan perpaduan sering dijadikan modal kempen.

“Di Johor, kerajaan yang stabil dibubarkan untuk menghadapi pilihan raya lebih awal. Di Negeri Sembilan pula berlaku ketidakstabilan sehingga membawa kepada pembubaran DUN.

“Yang menjadi mangsa akhirnya tetap rakyat,” tegas beliau.

Ketua AMANAH Kuala Terengganu itu berkata, keadaan tersebut berbeza dengan masyarakat bukan Melayu yang menurutnya tidak terlalu terikat dengan naratif penyatuan kaum walaupun mempunyai pelbagai parti politik yang mewakili kepentingan berbeza.

Sehubungan itu, Zamir menggesa pengundi Melayu supaya menilai rekod dan prestasi parti politik berbanding terpengaruh dengan slogan penyatuan yang berulang kali dilaungkan setiap kali musim pilihan raya.

Menurutnya, rakyat semakin bijak menilai siapa yang benar-benar bekerja untuk menyelesaikan masalah harian berbanding mereka yang hanya menjadikan isu perpaduan Melayu sebagai alat politik.

“Rakyat Melayu perlu berehat daripada mendengar ratib penyatuan Melayu yang akhirnya berakhir dengan pergaduhan sesama sendiri.

“Yang penting ialah siapa yang bekerja, siapa yang menyelesaikan masalah rakyat dan siapa yang mampu mentadbir dengan baik,” katanya.

Beliau turut menyifatkan pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan (PH) sebagai lebih sederhana, inklusif dan selesa bergerak dalam masyarakat pelbagai kaum tanpa perlu bergantung kepada retorik perkauman.

“Melayu Pakatan Harapan tidak sibuk bercakap soal penyatuan Melayu setiap hari.

“Tetapi mereka tidak bergaduh siang malam sesama Melayu dan terus bekerja untuk rakyat tanpa mengira kaum,” kata Zamir lagi.





No comments: