
Rejean mendakwa, masih belum ada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN bagi memperincikan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Johor dan Negeri Sembilan.
KUALA LUMPUR, 7 Jun – Rejean Kumar Ratnam menggesa Ahmad Samsuri Mokhtar wajar mempertimbangkan untuk meletakkan jawatan kerana didakwa gagal menjalankan tanggungjawab sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN).
Naib Ketua Bersekutu Bersatu Selangor itu berkata, tindakan Ahmad Samsuri “menghilangkan diri” sejak beberapa minggu tanpa sebarang kenyataan rasmi disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Beliau mendakwa, masih belum ada Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN bagi memperincikan persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) DUN Johor dan Negeri Sembilan.
“Malah saya menerima aduan daripada parti-parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) yang mereka buntu kerana sehingga hari ini masih tiada jawatankuasa dibentuk untuk merundingkan electoral pact dengan mereka.
“Tindakan Dr. (Ahmad) Samsuri “menghilangkan diri” sejak beberapa minggu kebelakangan ini tanpa sebarang kenyataan rasmi dan tindakan mengenai pelbagai isu penting termasuk krisis politik di Negeri Sembilan, kenyataan Pas berhubung Muafakat Nasional (MN) 2.0 yang dilihat membelakangi MT PN, serta isu hubungan antara Pas dan Bersatu adalah amat tidak bertanggung jawab,” katanya.
Rejean berkata, kepimpinan Samsuri turut menyebabkan institusi Pengerusi PN dan MT PN dilihat lemah serta tidak berupaya membuat keputusan yang tegas.
Ini kerana keputusan yang telah dibuat dalam mesyuarat MT PN boleh dipersoalkan atau dipertikaikan oleh Presiden Pas sekali gus menimbulkan persepsi bahawa autoriti kepimpinan PN tidak dihormati sepenuhnya.
Tambah beliau, Samsuri perlu memahami PN bukan Pas dan tihak mengamalkan sistem mulah.
“PN merupakan sebuah gabungan politik yang turut dianggotai oleh beberapa parti lain yang mempunyai struktur, budaya dan perlembagaan organisasi yang berbeza.
“Oleh itu, PN tidak boleh diurus berdasarkan pendekatan yang hanya tertumpu kepada satu parti atau mengikut kerangka dalaman Pas semata-mata,” katanya.
No comments:
Post a Comment