Kerajaan salur RM1 bilion bantu pesawah, cegah banjir di Kedah
Pelaksanaan projek pembangunan penting di Kedah, termasuk tebatan banjir dan usaha memperkukuhkan sektor pertanian, akan diteruskan kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan rakyat.
Perdana Menteri berkata, perhatian khusus turut diberi kepada pesawah melalui peruntukan besar yang disalurkan menerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) bagi meningkatkan hasil pengeluaran dan pendapatan petani.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan yang bergantung pada penanaman padi adalah antara kumpulan berpendapatan rendah yang perlu dibantu secara berterusan oleh kerajaan.

“Saya tahu antara keluarga paling miskin dalam negara ialah keluarga yang bergantung pada penanaman padi.
“Sebab itu kerajaan membelanjakan jumlah yang besar mencecah RM1 bilion melalui MADA dan memastikan projek tebatan banjir dilaksanakan,” kata beliau.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Sesi Pertemuan Mesra bersama Ketua-ketua Jabatan Persekutuan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Kedah di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Merbok di Sungai Petani, hari ini.

Dalam masa sama, Perdana Menteri menegaskan masa depan negara amat bergantung pada keupayaan menguasai teknologi baharu, termasuk kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan berbilion ringgit dalam sektor teknologi sedang dibawa masuk ke beberapa negeri.
Ia termasuk Kedah, Selangor, Sabah dan Sarawak, bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing.
“Kalau negara tidak memberi tumpuan kepada teknologi baharu, masa depan kita akan ketinggalan.
“Kita ada projek besar seperti Kulim Hi-Tech dan pelaburan digital serta AI bernilai berbilion ringgit.
“Tetapi pada masa sama, saya tidak mahu masalah tandas sekolah rosak, bumbung masjid bocor, dan rumah rakyat yang daif diabaikan,” tegas Perdana Menteri lagi.
No comments:
Post a Comment