PRU DUN Negeri Sembilan: Loke Tolak Kemungkinan Kerjasama PH-BN

 


Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata PH akan bertanding di semua kerusi di PRU DUN Negeri Sembilan sebagai timbal balas BN mahu tanding semua kerusi di PRU DUN Johor.

KUALA LUMPUR, 7 Jun – Anthony Loke Siew Fook menegaskan bahawa Pakatan Harapan (PH) tidak akan bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam PRU DUN Negeri Sembilan tidak lama lagi.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, kerjasama sedemikian tidak mungkin berlaku memandangkan keadaan yang membawa kepada pembubaran DUN adalah berpunca daripada Umno.

“Keseluruhan idea pembubaran (DUN) ini kerana Umno sudah menarik sokongan mereka.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Penyerahan Geran Tahunan Kerajaan Kepada Universiti AIMST di Sungai Petani pada 7 Jun 2026. Foto PMO

“Bagaimana kita boleh berkata sekarang, kami akan bekerjasama dengan mereka untuk mengelakkan sebarang kekalahan,” katanya pada sidang media selepas pelancaran dokumentari khas perjalanan DAP Wilayah Persekutuan.

Loke turut berkata keputusan PH untuk bertanding di semua 36 kerusi DUN Negeri Sembilan adalah sebagai tindak balas langsung terhadap tindakan BN.

“Umno mahu bertanding di semua kerusi di Johor. PH juga mahu bertanding di semua kerusi di Negeri Sembilan. Jadi, ini timbal balas,” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba jam 9.10 malam bagi menghadiri majlis pelancaran jentera pilihan raya Pakatan Harapan (PH) Johor di Batu Pahat pada 6 Jun 2026. Foto PMO

Pengerusi BN Zahid Hamidi, sebelum ini berkata BN masih terbuka untuk meneruskan kerjasama dengan PH bagi mengekalkan kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan, walaupun rundingan rasmi mengenai kerjasama pilihan raya masih belum diadakan.

DUN Negeri Sembilan dibubarkan Jumaat lalu, dua bulan selepas 14 Adun Umno menyatakan mereka hilang kepercayaan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun, dan menarik balik sokongan terhadap pentadbirannya.

Seminggu kemudian, kumpulan Adun Umno itu berkata mereka akan terus kekal dalam kerajaan negeri, namun tetap mengekalkan keputusan menarik sokongan terhadap Aminuddin.

Walaupun PH dan BN dilihat bakal bertembung di Negeri Sembilan, Loke berkata hubungan antara kedua-dua gabungan itu di peringkat Persekutuan masih kekal utuh.

“Setakat ini, bagi kami, ia masih merupakan hubungan kerja. Kami masih mentadbir kerajaan bersama-sama. Jemaah Menteri masih berfungsi seperti biasa,” katanya.

Loke tolak tuduhan Rafizi berkait pembubaran DUN

Sementara itu, Loke juga menyelar Rafizi Ramli, yang menuduh DAP memberi tekanan kepada Aminuddin untuk membubarkan DUN.

Rafizi dalam satu program audio siar mendakwa pembubaran tersebut ‘didorong’ oleh desakan DAP yang mahu pilihan raya Negeri Sembilan diadakan serentak dengan pilihan raya Johor, walaupun Aminuddin dan pemimpin-pemimpin PH negeri sebelum itu memberi isyarat bahawa mereka bersedia meneruskan pentadbiran sebagai kerajaan minoriti.

Loke berkata beliau bercakap sendiri dengan Aminuddin sejurus pembubaran DUN Johor dan dimaklumkan bahawa menteri besar itu sendiri bersedia untuk memohon pembubaran.

“Jadi, apa maksud kamu DAP beri tekanan (bubarkan DUN)?

“Saya fikir Rafizi ada sindrom baharu … Beliau juga ada sindrom di mana semua orang mahu salahkan DAP.

“Beliau sama seperti orang lain selepas meninggalkan PH. Mereka hanya mahu menyalahkan DAP,” katanya.



No comments: