
Sebahagian 45 individu ditahan kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal Ayer Hitam.
PUCHONG, 16 Jun – Tindakan sekumpulan 45 individu mendakwa terpengaruh dengan hantaran tular di media sosial selepas ditahan ketika Op Jejak kerana menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Ayer Hitam, di sini, kelmarin, tular di media sosial.
Malah, sebahagian besar daripada mereka memberikan alasan tidak tahu selain hanya mahu mandi-manda sebagai helah kepada pihak berkuasa.
Operasi khas bersepadu, Op Jejak dijalankan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) dengan kerjasama Balai Polis Puchong Jaya serta Universiti Putra Malaysia (UPM).
Seorang remaja berusia 19 tahun mengakui datang ke hutan simpan itu bersama beberapa rakannya semata-mata untuk beriadah dan tidak menyedari tindakan mereka melanggar undang-undang.
“Kami tak tahu salah masuk sini. Memang tak perasan ada signboard (papan tanda) larangan…. maaf bang, kami memang tak tahu,” katanya.
Ketika serbuan dilakukan, beberapa kumpulan dikesan sedang leka mandi-manda, manakala sebahagian lagi melakukan aktiviti pendakian.
Operasi bagaimanapun sedikit tegang apabila segelintir penceroboh disyaki warga asing enggan memberikan kerjasama dengan mempertikai pemeriksaan serta prosedur dokumentasi dijalankan.
Pegawai Hutan Daerah Selangor Tengah, Mohd Hadre Mohamad berkata operasi berakhir jam 3 petang itu membawa kepada penahanan 38 lelaki dan tujuh wanita, termasuk lima warga asing.
“Mereka didapati tidak mempunyai dokumen kebenaran sah untuk berada di kawasan berkenaan.
“Individu berkenaan dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang bagi tujuan pelaporan untuk tindakan siasatan lanjut oleh JPNS.
“Kita nasihat penggemar aktiviti rekreasi peka tentang keperluan Permit Memasuki Hutan Simpanan Kekal dan menjalankan aktiviti tersebut di lokasi pendakian yang dibenarkan sahaja.
“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil memandangkan perbuatan menceroboh tersebut suatu kesalahan di bawah Seksyen 47 Enakmen (Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985,” katanya.




No comments:
Post a Comment