
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA) di Putrajaya pada 14 Jun 2026. Foto Instagram Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 14 Jun – Terdapat unsur khianat di Negeri Sembilan kerana usaha menjatuhkan sebuah kerajaan yang memiliki kestabilan politik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, beliau sebelum ini menyatakan bagi menjayakan kerjasama dalam negara tidak seharusnya ada unsur-unsur khianat.
“Kalau tak khianat, baguslah. Tetapi, kalau dalam kita tengok pengalaman kita di Negeri Sembilan, tentunya ada usaha, dalam keadaan stabil politiknya, ekonominya, tapi ada usaha-usaha untuk menjatuhkan.

“Jadi, itu bagi saya ada sedikit pengkhianatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-10 Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (KOPROJAYA).
Perdana Menteri yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, semalam bahawa tidak harus timbul isu pengkhianatan apabila sesuatu penggal pentadbiran di peringkat negeri mahupun nasional berakhir dan tamat.
Ahmad Zahid dilaporkan berkata, sokongan BN terhadap kerajaan Negeri Sembilan sememangnya diberikan secara konsisten hingga ke akhir penggal pentadbiran.

Namun, beliau berkata, apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri itu, sebagai sebuah gabungan parti BN tentunya mempunyai hala tuju yang harus diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
Ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya PH Negeri Sembilan semalam, Anwar berkata, beliau tidak bersetuju pilihan raya awal di Negeri Sembilan memandangkan kerajaan negeri itu baru memasuki tahun ketiga.

Beliau dilaporkan berkata, menyampaikan rasa tidak puas hatinya kepada Aminuddin tetapi menegaskan ‘tiada pilihan’ akibat ketidakpastian daripada UMNO selepas 14 wakil rakyatnya menarik sokongan terhadap Aminuddin sebagai menteri besar, sebelum mengubah pendirian mereka.
“Ini adalah ‘wayang kulit’,” katanya seperti dipetik.

Mengenai Johor, Anwar berkata biarpun terpulang kepada Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, tumpuan sepatutnya diberikan kepada penjanaan pertumbuhan, ekonomi negara dan masalah dihadapi rakyat.
Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa bulan kebelakangan ini isu pilihan raya sibuk ditimbulkan sedangkan ketika ini negara berdepan kesan krisis ekonomi.

“Kalau tidak, tak ada khianat, tak apalah. Tapi maknanya kita harus tingkatkan kefahaman mengapa kerjasama dan muafakat itu penting dan bila ada keperluan pilihan raya pada masanya, jalanlah,” katanya.
No comments:
Post a Comment