
Kerajaan Persekutuan sentiasa mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat Johor dengan melanjutkan agenda Malaysia MADANI kepada Johor MADANI.
PENDAPAT, 14 Jun – Sejak tahun 2023, rakyat terus menyaksikan pelbagai inisiatif pembangunan diperkenalkan di peringkat Persekutuan menerusi kerangka Malaysia MADANI yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada masa yang sama, Johor turut mengetengahkan agenda mereka sendiri sebagai pelan pembangunan negeri yang memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi, pelaburan, infrastruktur dan kesejahteraan rakyat.
Hakikatnya, kedua-dua agenda tersebut mempunyai matlamat yang hampir sama, iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat dan memperkukuh kedudukan ekonomi. Namun, perbezaan utama terletak pada skala pelaksanaan.
Malaysia MADANI merupakan dasar nasional yang melibatkan seluruh negara, manakala Johor berfungsi sebagai pelengkap kepada pelaksanaan dasar tersebut di peringkat negeri menerusi Johor MADANI.
Pelbagai projek strategik yang menjadi pemangkin pembangunan Johor sebenarnya tidak dapat dipisahkan daripada peranan Kerajaan Persekutuan.
Antaranya termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kemasukan pelaburan asing, peningkatan kemudahan infrastruktur serta pelbagai inisiatif berkaitan pendidikan, latihan kemahiran dan pembangunan modal insan.
Semua ini memerlukan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.
Malaysia MADANI pula menyediakan kerangka lebih luas yang merangkumi reformasi ekonomi, pengukuhan tadbir urus, kesejahteraan sosial, keselamatan makanan serta transformasi pendidikan.
Dasar-dasar ini memberi manfaat kepada semua negeri termasuk Johor, sekali gus menyediakan asas yang kukuh untuk negeri itu berkembang sebagai hab ekonomi utama negara.
Justeru, kejayaan Johor tidak seharusnya dilihat sebagai pencapaian satu pihak semata-mata. Sebaliknya, ia merupakan hasil sinergi antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan yang berkongsi matlamat sama untuk membawa kemajuan kepada rakyat.
Dalam konteks ini, kerajaan Johor wajar menghormati agenda Malaysia MADANI bagi memastikan pembangunan yang lebih mampan, inklusif dan berterusan dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.



No comments:
Post a Comment