Parti AMANAH mencabar Dr Haim Hilman supaya mengemukakan bukti yang jelas dan boleh disahkan berhubung dakwaannya bahawa terdapat Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang didakwa “menjual tempat” kepada pelajar sehingga mereka yang tidak layak berjaya mendapat kemasukan.
Menurut AMANAH, dakwaan sedemikian bukan sahaja serius, malah melibatkan integriti sistem kemasukan ke IPTA, kredibiliti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Unit Pusat Universiti (UPU) serta nama baik institusi pengajian tinggi awam negara.
Pengerusi Biro Pendidikan dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, Dr Haim Hilman baru-baru ini sekali lagi mengulangi dakwaan bahawa seramai 30,000 pelajar yang layak dinafikan tempat kerana wujud amalan tidak telus dan penggunaan “pintu belakang”.
Beliau berkata dakwaan itu dibuat ketika satu Ceramah Umum Ambang Pilihan Raya di Markaz Pas Kawasan Seremban pada 13 Jun lalu.
“Dakwaan seperti ini sangat berat kerana ia menyentuh integriti keseluruhan sistem kemasukan ke IPTA serta melibatkan ribuan pelajar yang berjaya memperoleh tempat melalui proses pemilihan yang sah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Azli menggesa Dr Haim tampil segera dengan fakta, data dan bukti yang kukuh bagi menyokong dakwaan tersebut.
Menurutnya, jika benar berlaku penyelewengan seperti yang didakwa, Dr Haim mempunyai tanggungjawab moral dan profesional untuk menyalurkan maklumat itu kepada pihak berkuasa supaya siasatan dapat dijalankan.
“Jika benar, beliau perlu membantu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat, bukannya sekadar membuat dakwaan di pentas politik,” katanya.
Namun, katanya, sekiranya dakwaan tersebut tidak disokong dengan bukti yang jelas, ia hanya akan menimbulkan keresahan dalam kalangan pelajar, ibu bapa dan masyarakat selain mencemarkan reputasi institusi pendidikan tinggi negara.
Pada masa sama, AMANAH turut menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memberikan penjelasan rasmi bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap sistem kemasukan ke IPTA terus terpelihara.
Azli menegaskan bahawa integriti sistem pendidikan negara tidak boleh dipolitikkan melalui tuduhan yang tidak berasas.
“Rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus, manakala mana-mana pihak yang membuat tuduhan serius wajib bertanggungjawab terhadap kenyataan yang dikeluarkan,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa Dr Haim perlu berani mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.
“Jika gagal berbuat demikian, beliau ternyata sengaja mengada-adakan pembohongan dan menimbulkan fitnah semata-mata untuk meraih keuntungan politik murahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment