Dalam Kenangan—Hashim Bakar, Otai Reformis Yang Tidak Pernah Diam

 









[14/06, 02:55] Shahbudin: Rencana Khas:

Dalam Kenangan—Hashim Bakar, Otai Reformis Yang Tidak Pernah Diam.



Oleh

Shahbudin Embun




Pemergian Allahyarham Hashim Bakar bukan sekadar kehilangan seorang sahabat, tetapi hilangnya satu jiwa besar dalam sejarah perjuangan reformasi tanah air.

Bagi saya, Hashim bukan sekadar nama dalam politik. Beliau adalah sebahagian daripada perjalanan hidup saya sendiri—dari zaman remaja persekolahan, membesar dengan idealisme, sehinggalah beliau melangkah ke Kuala Lumpur membawa cita-cita perjuangan yang lebih besar.

Saya masih ingat, sejak muda lagi beliau bukan jenis yang suka berdiam diri. Ada sahaja yang diperhatikan, dikritik dan diperbetulkan. Dalam diam, beliau memerhati; dalam lantang, beliau menegur. Sifat itu kekal dalam dirinya hingga ke penghujung hayat.

Enam jam sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir, beliau masih sempat menulis di Facebook miliknya dengan nada sinis tetapi penuh makna:

“Kerana tamak dan tak sabar tunggu PRU16, ratusan juta duit rakyat habis untuk PRN negeri. Cis… politik tamak? Siapa rugi???”

Itulah Hashim Bakar—seorang pejuang yang tidak pernah berhenti berfikir tentang nasib rakyat, walaupun jasadnya semakin lemah.

Beberapa hari sebelumnya, beliau pulang ke Perlis—kampung halaman yang menjadi saksi awal pembentukan jiwanya. Di situ, beliau bertemu rakan-rakan lama, termasuk Saudara Bidin Beseri, seorang wartawan senior. Mereka berbual panjang, mengimbau zaman reformasi, membedah politik semasa dan menilai arah masa depan negara.

Dalam pertemuan itu juga, beliau sempat menyatakan penghargaan terhadap keikhlasan YAB Perdana Menteri serta Setiausaha Politiknya, Dato’ Farhan Dato Seri Fauzi, yang menziarahi beliau ketika sakit—bukan sekali, tetapi dua kali. Bagi Hashim, itu bukan sekadar kunjungan, tetapi lambang nilai kemanusiaan yang masih wujud dalam politik.

Perjalanan hidup Hashim Bakar bukan biasa-biasa. Beliau memulakan kerjaya sebagai pegawai di Permodalan Nasional Berhad (PNB), seangkatan dengan Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, selepas menamatkan pengajian dalam bidang Sains Politik di Universiti Sains Malaysia (USM).

Jiwa politiknya banyak dibentuk oleh Allahyarham Senator Abu Bakar Hamzah, tokoh awal PAS anak jati Perlis yang membawa pemikiran pembaharuan (islah) yang lebih moden. Dari sinilah Hashim menyerap idealisme politik yang tidak jumud, tetapi progresif.

Apabila landskap politik negara berubah dan gelombang reformasi melanda, Hashim tidak berpaling. Ketika Dato’ Seri Anwar Ibrahim disingkirkan, beliau antara yang bangkit mempertahankan prinsip. Beliau terus istiqamah dalam perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan menjadi antara penggerak awal di Perlis.

Hashim bukan ahli politik yang mengejar jawatan. Beliau adalah pejuang yang setia kepada prinsip—kadang-kadang keras, kadang-kadang sinis, tetapi sentiasa jujur.

Hari ini, kita mungkin kehilangan jasadnya. Namun semangatnya terus hidup—dalam setiap suara yang berani bersuara, dalam setiap generasi muda yang tidak takut melawan arus, dan dalam setiap insan yang percaya bahawa politik harus kembali kepada rakyat.

Bagi saya, Hashim Bakar akan sentiasa dikenang bukan hanya sebagai seorang otai reformis sejati, tetapi sebagai kenangan dan inspirasi yang tidak akan padam.

Al-Fatihah buat Allahyarham.

Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Aameen.

Shahbudin Embun

Penganalisis Politik

[14/06, 11:49] Shahbudin: [14/06, 11:05] PKR Dato' Seri Wan azizah: wakmslm, inalillahiwainailaihirajiun. moga roh Sdr Hashim Bakar di cucuri rahmat dan di tempatkan bersama para solehin. salam takziah kpd keluarga. inshaAllah wakil kami akan ziarah🙏🏻🤲

[14/06, 11:36] Shahbudin: Aameen x3

[14/06, 11:38] Shahbudin: YABhg Datin Seri

Alhamdulillah ...semua nya Selamat di semadi dengan Aman lagi DAMAI.






No comments: