KONVENSYEN PH | Tugas kita sekarang pastikan rakyat faham dasar MADANI – Suhaimi Ibrahim


 


Wakil Pakatan Harapan Pahang, Datuk Dr Suhaimi Ibrahim mengingatkan pimpinan dan jentera parti bahawa cabaran terbesar kerajaan hari ini bukan sekadar mempertahankan kuasa politik, tetapi memastikan rakyat benar-benar memahami dasar serta agenda Kerajaan MADANI.

Berucap pada Konvensyen Pakatan Harapan 2026, beliau berkata seluruh pimpinan dan akar umbi perlu bergerak sebagai satu pasukan dalam menerangkan pelbagai inisiatif kerajaan kepada rakyat di peringkat bawah.

“Kita datang sebagai satu pasukan,” katanya dalam ucapan yang disambut tepukan perwakilan.

Menurut Suhaimi, banyak dasar dan usaha kerajaan ketika ini gagal difahami sepenuhnya kerana kelemahan penyampaian di lapangan, walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan untuk membantu rakyat.

Beliau berkata sebab itu seluruh jentera PH perlu memainkan peranan lebih agresif untuk turun ke bawah dan menjelaskan agenda MADANI secara lebih dekat serta mudah difahami masyarakat.

Suhaimi turut menegaskan konvensyen tersebut bukan sekadar acara politik, tetapi medan menyusun kekuatan bersama dalam menghadapi cabaran politik dan persepsi rakyat menjelang pilihan raya akan datang.

Ucapan beliau yang bernada sederhana tetapi tegas turut memberi penekanan terhadap pentingnya perpaduan dalaman PH supaya mesej kerajaan dapat disampaikan secara lebih tersusun dan berkesan kepada rakyat.




No comments: