LEBAI KELARAH

 






Shahridan Shaharan


Rakyat masih boleh pejam sebelah mata terhadap banyak perkara. Pembohongan manifesto. Hipokrasi pemimpin. Caci-maki pentas ceramah. Hari ini maki, esok berpeluk. Itu semua sudah jadi sarkas biasa politik Malaysia.


Tetapi apabila seorang yang memakai gelaran ulama mula menghina para sahabat Rasulullah SAW dengan begitu biadab, itu bukan lagi politik. Itu kerosakan adab dan akidah yang sangat menjijikkan.


Dr Nik Zawawi Salleh telah melampaui garis yang umat Islam sendiri tahu tidak boleh disentuh. Setiausaha Majlis Syura Ulama PAS itu tergamak melabel Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA sebagai “bapak ceti” yang memeras orang miskin, manakala Saidina Umar al-Khattab RA pula digambarkan ganas dan kaki zina.


Ini bukan tersasul dan bukan salah faham. Ini penghinaan yang keluar dengan yakin daripada mulut seorang pemimpin agama yang sepatutnya lebih takut menjaga lidahnya daripada orang biasa.


Mengapa perlu mengorek keburukan zaman jahiliah para sahabat sedangkan terlalu ramai musuh Islam dalam sejarah yang boleh dijadikan contoh? Mengapa mesti Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA yang dipilih untuk dijadikan bahan ceramah di pentas politik? 


Seolah-olah ada dendam yang begitu dalam terhadap dua insan yang paling dekat dengan Rasulullah SAW.


Bukankah Islam mengajar supaya menutup aib bukan membuka dan mengulanginya di pentas ceramah? Ulama sebenar tahu batas lidah. Mereka tahu apa yang boleh disebut dan apa yang wajib dijaga demi memelihara adab terhadap agama. Tetapi apabila politik sudah menguasai hati, ilmu pun mula tunduk kepada nafsu dan tepukan penyokong.


PAS tidak boleh terus berselindung di sebalik kenyataan lembik dan hukuman kosmetik. Direhatkan bukan tindakan tegas. Itu sekadar teknik mencuci tangan sambil berharap isu ini perlahan-lahan dilupakan penyokong.


Walaupun dia akhirnya tampil memohon maaf dan mengakui kesilapan, isu ini tidak boleh ditutup begitu sahaja seolah-olah ia sekadar keterlanjuran biasa pentas ceramah. 


Luka yang ditinggalkan bukan kecil. Saidina Abu Bakar RA dan Saidina Umar RA bukan bahan politik murahan. Mereka adalah tonggak agama yang mengangkat Islam ketika sebahagian manusia masih tenggelam dalam jahiliah.


Permohonan maaf mungkin boleh meredakan kemarahan tetapi ia tidak memadam persoalan besar tentang bagaimana lidah seorang pemimpin agama boleh sampai tergamak menyentuh perkara yang begitu sensitif dan berbahaya kepada akidah umat.


Bukan semua orang yang memakai jubah dan serban Islam benar-benar memahami adab terhadap agama itu sendiri.--JPX #imsoldieroflove




No comments: