LRA SANGKUT: “SAYA TAK ADA MASALAH, PERGILAH SIASAT” - SANUSI








Oleh: Roslinda Hashim 


ALOR SETAR - Semua proses pelaksanaan projek Loji Rawatan Air (LRA) di negeri ini dilakukan mengikut prosedur dan tatakelola ditetapkan.


Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya projek LRA Sungai Limau dan Bukit Selambau disiasat mana-mana pihak kerana tiada apa perlu disembunyikan.


Menurut beliau, pelbagai tuduhan dan persepsi negatif berhubung projek LRA terbabit sejak kebelakangan ini hanya untuk mengelirukan rakyat.


“Saya tak ada masalah, siapa nak siasat, pergilah siasat. Semua proses berjalan dengan betul dan ikut prosedur. Jangan cuba bina persepsi untuk kelirukan orang ramai sehingga rakyat mendapat gambaran salah terhadap projek ini,” katanya.


Sanusi berkata, tiga daripada lima LRA tidak berdepan masalah iaitu, LRA Lubuk Buntar Lama berstatus siap, LRA Jenun Baru juga siap dan menunggu masa untuk diserahkan serta LRA Pelubang berjalan mengikut jadual.


“Riuh Kedah dengan serangan LRA tak siap. Banyak kali penjelasan diberi, masih ada pihak cakap perkara tak betul, untuk beri tanggapan buruk kepada Kedah dan Menteri Besar. Buat tuduhan macam-macam, kelirukan orang. Bersihkan hati, cari penyelesaian, bukan buat tohmahan,” katanya.


Sanusi sekali lagi tampil menjelaskan, keperluan pembinaan LRA di Kedah dikenal pasti sejak tahun 2008 selepas audit mendapati negeri ini pada ketika itu ketinggalan hampir 15 tahun dari segi keperluan bekalan air dan penggantian paip.


“Akhirnya sehingga 2018, kerajaan bertukar beberapa kali. LRA dibuat penilaian projek dan kos untuk semua LRA mencecah RM931 juta,” katanya. 


Menurutnya, sebahagian pembiayaan melibatkan pinjaman bagi projek LRA Pelubang bernilai RM431 juta manakala selebihnya berbentuk geran Persekutuan untuk kawasan luar bandar.


Katanya, projek bekalan air luar bandar sememangnya layak menerima geran berdasarkan keputusan Kabinet pada 1993, manakala projek di kawasan bandar perlu dibiayai melalui pinjaman.


“Apabila Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dilaksanakan, pada 2008 diwujudkan Syarikat Air Darul Aman (SADA) sebagai operator air. Ada pihak salahkan SADA bila LRA tak siap. SADA tak terbabit dalam pembinaan LRA. 


“LRA dibina oleh Jabatan Kerja Raya (JKR). Superitending Officer (SO) ialah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan wakil SO ialah JKR sebagai pelaksana. JKR teliti semua perkara daripada mula tender sehingga siap LRA,” jelasnya.


Sanusi turut membidas pihak yang mengaitkan dirinya dengan pemberian kontrak LRA kepada kenalan rapat, sedangkan semua projek dianugerahkan secara tender terbuka.


“Macam mana saya bagi kontrak kepada kawan saya sedangkan projek ini tender terbuka. Kalau direct negotiation mungkin munasabah tuduhan itu, tetapi ini tender terbuka, semua syarikat perlu ada lesen Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) serta kelayakan G7, ada pengalaman dan kebolehan. Kalau tak penuhi syarat, beli borang tender pun tak layak.


“Difahamkan yang dapat projek itu kawan mereka (PH), bukan kawan saya. Macam mana tuduh saya lantik kawan saya? Tujuan tuduhan hanya nak kaitkan saya dengan habuan duit sebab LRA tak siap. Syarikat tu pun masuk harga rendah, macam mana kata saya ambil duit pula. Sebenarnya mereka nak ke arah naratif itu, cuma tak sampai sebab saya heret pergi cepat,” katanya.


Beliau berkata, proses tender dikendalikan sepenuhnya oleh JKR selaku agensi teknikal, bukannya di bawah bidang kuasa Menteri Besar.


“Ada mainkan isu Sanusi tak tahu apa-apa. Memang saya tak tahu siapa ada lesen, siapa masuk tender. 

Bukan bidang kuasa saya buat penilaian tender, JKR mengetuai proses itu.


“Ada jabatan teknikal uruskan ikut fungsi masing-masing. Tak kan saya kena buat semua. Kalau macam tu, biar saya sorang jadi JKR, JPS, SADA dan SPAN. Tak boleh, tiap-tiap petak ada orang jaga, jadi mereka jaga petak mereka. Kalau petak bermasalah, tak kan saya salah. Saya pantau selagi ia berjalan ikut prosedur undang-undang,” katanya.


Sanusi jelaskan, antara kelewatan projek LRA berpunca daripada keputusan kerajaan terdahulu membatalkan tender asal bagi menjalankan semula kajian harga.


Menurutnya, tender projek berkenaan pada asalnya dibuka ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), namun dibatalkan semasa era Pakatan Harapan (PH) kerana mahu melakukan penilaian semula kos, menyebabkan pembinaan lima projek LRA tertangguh hampir dua tahun.


“Tender dibuka zaman BN, tetapi PH batal sebab kata harga mahal, buat kajian harga semula. Mereka lantik perunding dan bayar ratusan ribu ringgit untuk kajian semula, akhirnya nilai projek tetap sama RM931 juta, rugi saja” katanya.


Tambah beliau, sekiranya projek diteruskan tanpa penangguhan ketika itu, sebahagian LRA kemungkinan siap lebih awal.


Menurutnya, selepas proses penilaian semula selesai, kerajaan memutuskan projek diteruskan melalui tender terbuka pada 2020, disertai banyak syarikat sebelum dinilai Jawatankuasa Tender.


Tambahnya lagi, syarikat yang berjaya memperoleh projek dipilih kerana menawarkan harga lebih rendah daripada pasaran, namun kemudian berdepan masalah apabila berlaku peningkatan kos bahan binaan dan gangguan akibat pandemik COVID-19.


“Kontraktor masuk dengan harga murah, bawah harga pasaran, tetapi bila berlaku COVID-19 dan harga bahan khususnya besi naik berkali-kali ganda, akhirnya projek sangkut.


“Bukan projek ini sahaja, projek lain pun minta VOP (penilaian harga semula) dan EOT (lanjutan masa) kerana ia terkandung dalam kontrak jadi perlu dipertimbangkan. EOT bukan perkara baharu, setiap permohonan dinilai jawatankuasa teknikal berdasarkan syarat kontrak,” katanya.


Katanya lagi, tindakan penamatan kontrak juga boleh dilakukan sekiranya kontraktor gagal menyiapkan projek, namun ia perlu mematuhi prosedur bagi mengelakkan tindakan saman terhadap kerajaan.


“Kalau tak ikut prosedur nanti kerajaan disaman. Semua kena ikut kaedah dan tatacara dalam kontrak.

Syarikat yang dilantik perlu ikut template kontrak kerajaan, cuma untuk projek ini ada tambahan tertentu, setiap butiran dalam kontrak mengambil kira semua faktor.


“Tak ada kontraktor masuk projek hendak gagal. Semua mahu berjaya sebab ia melibatkan reputasi syarikat. Mereka yang gagal siapkan projek kerajaan, akan disenaraihitam, tak boleh masuk lagi tender akan datang,” katanya. 


Sanusi tegaskan, Kerajaan Negeri juga tidak mahu projek terbabit terus tertangguh kerana ia melibatkan janji kepada rakyat untuk meningkatkan bekalan air di Kedah.


“Kalau saya tak perjelaskan, kelak membawa maksud tomahan itu benar. Jadi saya kena maklum apa berlaku. Saya harap perkara ni diperbetulkan,” katanya.


https://www.kedahonline.com/2026/05/lra-sangkut-saya-tak-ada-masalah.html




No comments: