HarapandailyMay 26, 2025
Sebanyak RM625,250 milik seorang pesara lesap akibat terperdaya dengan
pelaburan tidak wujud menerusi seorang wanita yang memperkenalkan diri sebagai
Susan.
Mulanya, ‘Susan’ menghubungi lelaki berusia 67 tahun berkenaan menerusi
aplikasi WhatsApp dan menawarkan kepadanya untuk menyertai
pelaburan itu.
Menurut Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer
Singh Mahindar Singh, mangsa yang berminat menyertai pelaburan itu kemudian
dimasukkan dalam kumpulan WhatsApp.
Mangsa kemudian diminta memuat turun satu aplikasi pelaburan bagi
melihat keuntungan serta mengendalikan pelaburan terbabit.
Balveer berkata, mangsa yang tertarik dengan keuntungan dijanjikan
kemudian melakukan 16 transaksi pemindahan wang simpanannya kepada lima akaun
berbeza.
Transaksi itu dilakukan mulai 22 Mac hingga 19 Mei lalu dengan jumlah
keseluruhan bernilai RM625,250.
“Mangsa menyedari dirinya ditipu
apabila diminta membuat bayaran tambahan ketika cuba mengeluarkan keuntungan
diperoleh.
“Siasatan polis juga akan membabitkan ‘keldai akaun’ dan jika ada,
tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun terbabit,” katanya dalam
kenyataan, hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

No comments:
Post a Comment