Adun Sura mahu saman Dr Zulqarnain kerana dakwa dia hina Agong
BORHAN AHMADApril 29, 2025
Adun Sura, Terengganu, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, beliau
sedang membuat kajian untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap peguam
perlembagaan, Dr Zulqarnain Lukman.
“Saya sedang mengambil langkah undang-undang terhadap Zulqarnain Lukman
atas kenyataan liar dan bersangka buruk ini,” kata Adun berkenaan mengulas
tulisan Dr Zulqarnain yang menyifatkan kenyataannya sebagai menghina Yang
Dipertuan Agong.
Muhammad Fakhruddin, menegaskan bahawa tuduhan yang mengaitkan beliau
dengan perbuatan menghina Yang di-Pertuan Agong adalah satu tuduhan yang sangat
berat, tidak berasas, bersifat jahat dan berniat jahat (mala fide).
“Peguam Zulqarnain Lukman secara terbuka telah membuat kenyataan yang
memberi gambaran seolah-olah saya menghasut rakyat untuk mengurangkan
kepercayaan kepada institusi Raja-Raja Melayu — sedangkan kenyataan asal saya
langsung tidak menyentuh apatah lagi menghina mana-mana Raja atau institusi
DiRaja.
“Tuduhan ini bukan sahaja mencemar reputasi saya sebagai wakil rakyat,
malah cuba mencetuskan persepsi buruk yang berunsur fitnah terhadap saya secara
peribadi dan politik,” kata beliau.
Sebelum ini, Zulqarnain dalam tulisan yang kemudiannya dipetik
Malaysiakini berkata, analogi yang dibuat oleh Adun dari Pas itu melalui
tulisannya terlalu jauh melencong berniat tidak baik kepada Yang Dipertuan
Agong.
“Jika Adun ini hendak bermusuh
dengan DAP itu dia punya fasal. Tetapi menyebarkan naratif songsang begini
tidak perlu dibuat,” katanya.

Zulqarnain (gambar atas) dalam tulisannya bertanya, Adun
ini sedar atau tidak dalam Perlembagaan Malaysia ini mengenai kedudukan
Raja-Raja.
“Adun ini sedar atau tidak kedudukan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia
ini jauh lebih kuat daripada Perlembagaan Singapura.
“Dalam Perlembagaan Malaysia ini kesemua jawatan penting dalam kerajaan
seperti Perdana Menteri, Menteri, Ketua Polis, Panglima Tentera, Ketua Hakim,
Peguam Negara dan banyak lagi jawatan penting kerajaan kesemuanya perlu
mendapat perkenan YDPA atau Majlis Raja-Raja.
Katanya, dalam Perlembagaan Singapura tiada peruntukan berkaitan YDPA
atau Majlis Raja-Raja.
“Adun ini sedar atau tidak bahawa sebarang perlanggaran Perlembagaan itu
adalah suatu perkara yang serius dan boleh dikenakan tindakan undang-undang
sama ada secara sivil atau jenayah.
“Tulisan Adun ini adalah memperkecilkan kuasa dan kedaulatan YDPA dan
Majlis Raja-Raja seolah-olah Adun ini menganggap YDPA dan Majlis Raja-Raja ini
boleh diperkotak-katikkan oleh kuasa politik.
“Tulisan sebegini adalah satu cenderung kepada perbuatan menghasut
rakyat untuk mengurangkan kepercayaan rakyat kepada YDPA dan Majlis Raja-Raja.
“Adun ini sudah melampaui batasan undang-undang dalam bersuara. Tindakan
undang-undang patut dikenakan ke atas Adun ini,” kata Zulqarnain.
No comments:
Post a Comment