Oleh: Helmi Mohd Foad
Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama 31 anggota Jemaah Menteri hari
ini menghadiri program pemukiman kerajaan Madani 2024 di Cyberjaya bagi
memantapkan halatuju pentadbirannya.
Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam kenyataan berkata, program
yang akan berakhir esok itu turut membawa matlamat untuk memantapkan kerjasama
antara Jemaah Menteri dan kepimpinan perkhidmatan awam.
Menurutnya, program itu turut memperkuatkan iltizam dalam
melaksanakan pelan-pelan tindakan bagi merealisasikan aspirasi Ekonomi Madani.
"Program ini dilaksanakan selaras hasrat Perdana Menteri
untuk menyampaikan mandat kepada semua anggota Jemaah Menteri dan kepimpinan
tertinggi perkhidmatan awam tentang hala tuju dan strategi kerajaan bagi tahun
2024 serta bagi jangka masa sederhana dan panjang," kata kenyataan itu
hari ini.
Pemukiman yang berlangsung hingga esok dihadiri 31 anggota Kabinet
dan 15 orang jemputan khas.
Kata kenyataan itu, pemukiman tersebut juga bertujuan mencapai
penjajaran matlamat serta mewujudkan rasa kebersamaan dalam kalangan anggota
Jemaah Menteri terhadap pelan tindakan bersepadu kerajaan berteraskan konsep
‘whole of government dan whole of nation'.
Kenyataan itu berkata program selama dua hari ini membawa beberapa
sesi wacana dan forum yang melibatkan pakar-pakar dari sektor awam, sektor
swasta, industri dan organisasi antarabangsa.
Antara perkara-perkara yang dibincangkan mencakupi aspek-aspek
penting termasuk cabaran dan hala tuju ekonomi; kebajikan dan keselamatan
sosial; pembangunan infrastruktur dan kemampanan; tadbir urus, inovasi dan
komunikasi ke arah kemakmuran negara.
Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan tiba pukul 2.42 petang
tadi disambut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah
Perkhidmatan Awam Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad
Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.
Sebelum ini, Anwar memaklumkan, permukiman itu bagi meneliti
pelaksanaan dasar-dasar yang telah dilancarkan kerajaan sepanjang tahun lepas.