SIAPA BAKAL MENGISI 3 NAIB PRESIDEN DITENTUKAN ESOK

 

Esok, 18 Mac adalah hari pemilihan bagi memilih kepimpinan UMNO di peringkat pusat dan bahagian-bahagian di seluruh negara.

Semua 191 bahagian UMNO akan mengadakan mesyuarat masing-masing secara serentak.

Bagi peringkat MT, disebabkan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO diputuskan tiada pertandingan, persaingan paling menjadi perhatian tentunya ialah untuk jawatan Naib Presiden.

Seramai kira-kira 160,000 perwakilan seluruh negara akan memilih tiga Naib Presiden daripada lapan calon yang menawarkan diri.

Bagi merebut jawatan Ahli MT pula, seramai 95 calon menawarkan diri untuk merebut 25 kerusi tersebut.

Siapakah paling mungkin dipilih bagi merebut tiga kerusi Naib Presiden UMNO kali ini?

Tinjauan dengan sejumlah ahli dan pemimpin UMNO di beberapa negeri mendapati, bagi jawatan Naib Presiden, calon paling menjadi pilihan setakat ini ialah Johari Ghani, Pengerusi UMNO Wilayah Persekutuan serta bekas Menteri Kewangan Kedua dan Hasni Mohammad, bekas Menteri Besar Johor dan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor.

Rata-rata yang ditinjau pendapat mereka kelihatan lebih cenderung untuk memberikan undi mereka kepada kedua-dua pemimpin terbabit berbanding calon-calon lain.

Johari menjadi pilihan kerana beliau dilihat pemimpin yang ada nilai tambah kepada parti susulan banyak pandangan yang dilontarkannya berkaitan permasalahan ekonomi negara dilihat relevan dengan hakikat isi poket rakyat.

Baru-baru ini juga beliau dilantik mengetuai pasukan petugas bagi menyelesaikan beberapa isu membabitkan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Lantikan beliau diumumkan sendiri oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat selepas bersetuju dengan kritikan Ahli Parlimen Titiwangsa itu berhubung penyelesaian kerajaan dengan Goldman Sachs bernilai AS$2.5 bilion.

Hasni pula menjadi pilihan atas kewibawaannya selaku “poster boy” PRN Johor sehingga BN mencapai kemenangan dua pertiga yang kemudian disusuli rasa simpati lantaran beliau tidak dilantik semula sebagai Menteri Besar selepas itu.

Ini bermakna, jika kecenderungan itu benar-benar diterjemahkan pada hari pengundian esok, Johari dan Hasni dilihat berada dalam kedudukan paling selesa untuk mengisi dua kerusi Naib Presiden kali ini.

Ini sekaligus bermakna, bagi satu lagi kerusi Naib Presiden yang tinggal, ia akan menjadi persaingan yang sengit antara enam calon yang berbaki.

Mereka ialah Khaled Nordin, Mahadzir Khalid iaitu penyandang Naib Presiden sedia ada, Azalina Othman Said, Reezal Merican Naina Merican, Wan Rosdy Wan Ismail dan Yusof Musa Jamaluddin.

Dapatan secara umum melalui tinjauan dengan perwakilan negeri-negeri mendapati tidak ada ketentuan yang ketara siapa yang bakal memperolehi undi selesa bagi mengisi satu lagi kerusi Naib Presiden itu.

Ini kerana perwakilan didapati mempunyai kecenderungan yang berbeza-beza tentang siapa pilihan mereka.

Ada perwakilan dilihat cenderung untuk memberi undi kepada Azalina berikutan beliau merupakan calon wanita tunggal yang bertanding bagi jawatan itu.

Kemenangan Dr. Noraini Ahmad mengekalkan jawatan Ketua Wanita UMNO minggu lalu dilihat mampu memberi sedikit kelebihan kepada Azalina.

Ada juga perwakilan cenderung untuk memberi undi kepada Wan Rosdy atas kedudukannya sebagai satu-satu calon yang berjawatan Menteri Besar.

Selebihnya, perwakilan didapati ada yang mahu memberi undi kepada Khaled atau Mahadzir atas kedudukan mereka sebagai penyandang jawatan tersebut.

Terutama Khaled yang berjawatan menteri dan penyokong kuat Presiden UMNO, beliau dipercayai akan mendapat sokongan yang lebih daripada kelompok tersebut.

Namun, kemampuan Mahadzir dalam memberi cabaran tidaklah boleh dipandang ringan, meskipun beliau kalah dalam PRU15 baru-baru ini dan tidak menyandang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Beliau dikatakan mempunyai rangkaian yang meluas dalam parti, selain keperibadiannya yang mudah mesra dan pemurah sejak dulu lagi.

Dalam pada itu, bagi kerusi MT, agak susah dijangka siapa pemenangnya kerana terlalu ramai calon yang bertanding dan sehingga ini beberapa cai juga turut tersebar di media sosial.

Meskipun begitu, adalah dijangka ia adalah kombinasi yang seimbang antara yang pro Presiden UMNO dengan mereka yang tidak begitu sebulu dengannya.

Peringatan Zahid Hamidi malam tadi agar perwakilan tidak memilih calon proksi dalam barisan kepimpinan baru UMNO di peringkat pusat adalah petanda kebimbangan itu dan beliau nampaknya menyedari hakikat tersebut sedang berombak dalam UMNO menjelang hari pengundian esok hari. – ShahbudinHusin 17/03/2023.



No comments: