KEMELUT SABAH TANDA KEGAGALAN ZAHID HAMIDI?

 

Nampak macam selesai tapi sebenarnya tidak selesai – itulah barangkali gambaran yang boleh disimpulkan berkenaan keadaan politik di Sabah ketika ini.

Walaupun pembentukan kerajaan perpaduan telah dicadangkan dan Anwar Ibrahim serta Zahid Hamidi sendiri telah turun ke Sabah untuk membentangkan formula penyelesaian, namun Ketua Menteri, Hajiji Noor ternampak agak keberatan untuk memenuhi cadangan itu.

Sebab paling kukuh untuk beliau berbuat demikian adalah kerana sokongan yang memihak kepadanya sudah lebih daripada mencukupi iaitu 44 Adun, termasuk 5 daripada UMNO sendiri.

Logiknya untuk apa lagi beliau mahu mewujudkan kerajaan perpaduan kerana kerajaan perpaduan hanya perlu jika majoriti masih tidak mencukupi?

Tetapi sekarang untuk Hajiji berdiri sebagai kerajaan sudah lebih daripada mencukupi.

Lantaran itu, kedudukan Adun BN dalam Sidang DUN Sabah hari ini telah diletakkan di blok pembangkang.

Bagaimanapun, kedudukan tempat duduk lima Adun BN Sabah yang secara terbuka menyatakan sokongan mereka kepada kepimpinan Hajiji kekal tidak berubah di blok kerajaan.

Akhirnya, siapa yang rugi?

Elok-elok jadi kerajaan sebelum ini, kini dalam sekelip mata sudah bertukar menjadi pembangkang.

Sebab lain kenapa Hajiji dilihat keberatan mewujudkan kerajaan perpaduan ialah kerana enggan menerima kembali Bung Mokhtar Radin berada dalam kerajaan pimpinannya setelah mengumumkan menarik sokongan terhadapnya, baru-baru ini.

Di pihak UMNO dan BN, jika keadaan ini berterusan, siapa yang harus memikul beban kerugian itu?

Zahid Hamidi atau Bung Mokhtar?

Terutama kepada Zahid Hamidi, tidak terasakah beliau bahawa semua ini petanda kegagalannya selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN dalam memastikan Adun BN Sabah benar-benar solid dan bersatu hati?

Sudah tentu lebih merupakan tamparan kepada Zahid Hamidi jika dalam susunan kabinet negeri yang bakal diumumkan Hajiji nanti, Bung Mokhtar terus digugurkan sebagai Timbalan Ketua Menteri dan tempatnya digantikan dengan salah seorang daripada lima Adun UMNO yang secara terbuka mengumumkan sokongan terhadap Ketua Menteri.

Masihkah Zahid Hamidi mahu berbangga dengan kedudukannya sebagai Timbalan Perdana Menteri? – ShahbudinHusin 10/01/2023.


No comments: