Jemaah Menteri baharu Sabah formula kerajaan perpaduan PM, kata Shahelmey

 

Timbalan Ketua Menteri 3 Sabah yang baru dilantik, Shahelmey Yahya berkata rombakan Jemaah Menteri itu adalah formula kerajaan perpaduan disarankan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim. (Gambar Facebook)

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri 3 Sabah yang baharu dilantik, Shahelmey Yahya berkata, rombakan Kabinet yang dilakukan ini merupakan salah satu formula kerajaan perpaduan seperti disarankan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, baru-baru ini.

Beliau berkata keputusan untuk tidak memasukkan Warisan dan sebuah lagi kumpulan yang menentang Ketua Menteri Hajiji Noor ke dalam Jemaah Menteri juga dibuat atas persetujuan bersama kerajaan negeri.

“Ya ini merupakan satu daripada formula kerajaan perpaduan, kerana dengan rakan Kabinet yang baru saja diumumkan telah memasukkan tiga muka baharu daripada PH (Pakatan Harapan) dan BN (Barisan Nasional…dua PH dan satu BN.

“Daripada warisan dan satu kumpulan yang nyatakan penentangan terhadap hajiji, kami telah persetujui bersama untuk tidak menerima mereka, jadi mereka kena terima hakikat, bertenang, jadilah pembangkang yang membina dan sama-sama kita tumpukan urusan membangunkan Sabah.

“Bila tiba masa 2025, penggal (DUN) berakhir, baru kita dapatkan semula mandat daripada rakyat,” katanya ketika ditemui media ketika keluar dari gerbang Istana Negeri, di sini.

Sementara itu, Shahelmey berkata, beliau setakat ini masih belum menerima sebarang khabar daripada pimpinan Umno berhubung tindakannya membelakangi keputusan parti bagi menarik balik sokongan kepada Hajiji.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan ada bertemu dengan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi ketika timbalan perdana menteri itu datang ke Sabah pada Isnin, namun mengatakan tiada perbincangan dibuat antara mereka.

“Saya masih ahli Umno dan tidak mendapat sebarang khabar daripada pimpinan Umno.

“Saya ada berjumpa dengan Datuk presiden (Zahid) sebentar sewaktu beliau datang ke Sabah baru-baru ini, tapi tidak ada apa-apa, cuma angguk-angguk dan salam sajalah,” katanya.

Shahelmey juga mengesahkan tidak akan hadir ke Perhimpunan Agung Umno (PAU) kerana beliau bukan perwakilan selain terlibat dengan portfolio baharunya.


No comments: