Walaupun Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata lantikan Perdana Menteri (PM) baharu adalah bergantung kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong, namun Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai pendirian yang sebaliknya.
Naib Presiden UMNO itu berkata UMNO sudah membuat keputusan mencalonkannya sebagai PM jika Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti dan tidak timbul isu berhubung calon lain yang bakal dilantik sebagai pemimpin nombor satu negara nanti.
“Autoriti tertinggi dalam parti kita adalah PAU (Perhimpunan Agung UMNO), dan PAU juga sebulat suara memutuskan saya sebagai PM,” katanya dipetik semasa wawancara yang disiarkan Bernama TV dan stesen televisyen arus perdana yang lain.
Kenyataan itu hadir selepas Zahid semalam berkata sebarang lantikan PM perlu dibuat mengikut lunas Perlembagaan negara dan Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa untuk memutuskan siapa PM Ke-10 yang layak untuk memimpin negara.
Selain itu, Ismail Sabri juga berkata semasa mesyuarat perwakilan bahagian UMNO baru-baru ini, 156 bahagian daripada 190 bahagian yang boleh bermesyuarat telah membuat usul mencadangkan beliau sebagai calon PM selepas PRU-15.
“Dari segi parti sudah tidak ada isu, sudah tidak ada soal timbul siapa yang lain dan sebagainya. Kerana semua peringkat parti telah buat keputusan,” katanya lagi.
Ismail Sabri juga keputusan yang diputuskan oleh UMNO perlu dipatuhi dan ia bermakna dirinya kekal sebagai calon PM.
“Semua keputusan yang disebutkan, selagi tidak ‘direversekan’, ia akan terus menjadi keputusan yang mesti dipatuhi,” katanya lagi.
Semalam, Zahid sekali lagi mengulangi pendirian berhubung lantikan seorang PM perlu mengikut lunas peruntukan Perlembagaan, iaitu kuasa mutlak dalam memilih jawatan nombor satu negara itu terletak kepada Agong selepas sesebuah parti memperoleh majoriti 19 November nanti.
“Kita yakin bahawa kuasa mutlak Agong terdapat di dalam perlembagaan persekutuan 43 (1) (B) ialah adalah kuasa mutlak melantik perdana menteri.
“Saya yakin Tuanku akan menggunakan kebijaksanaan untuk menentukan siapakah akan Perdana Menteri apabila BN (Barisan Nasional) memperolehi jumlah majoriti yang mencukupi untuk kita menubuhkan kerajaan,” katanya.
Pada 7 November lalu, Zahid juga memberi jawapan sama semasa mengulas berhubung siapa yang bakal dilantik sebagai PM ke-10 nanti.
Mengikut kelaziman dan tradisi parti, Presiden UMNO akan menjadi PM sekiranya BN yang diterajuinya menang pada PRU-15. Bagaimanapun PM sementara sekarang adalah Ismail Sabri.