LAIN YANG DISURUH SIASAT, LAIN PULAK YANG DISIASAT ? SPRM OH SPRM.....

 


SPRM serbu pejabat, siasat Invoke Solutions, dakwa Rafizi.




Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan SPRM tidak menyiasat dakwaan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion berserta bukti didedahkan sebelum ini.

PETALING JAYA: Syarikat data Invoke Solutions Sdn Bhd, yang diasaskan Rafizi Ramli, diserbu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi, dakwa timbalan presiden PKR itu.

Tindakan itu mengundang persoalan Rafizi kerana beliau mendakwa SPRM tidak menyiasat dakwaan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion berserta bukti yang didedahkannya sebelum ini.

“Hari ini, sedang saya berkempen, SPRM datang serbu pejabat saya, tahan budak-budak saya selama tujuh jam. Kita cakap pasal skandal RM2 bilion (projek tebatan banjir), dia tak siasat.

“Kita cakap pasal kapal LCS dan sudah tunjuk bukti mengenai (Datuk Abdul) Latiff Ahmad (bekas timbalan menteri pertahanan), tunjukkan wang RM200 juta yang masuk ke syarikat palsu, dia tidak siasat.

“Satu sen pun yang membabitkan syarikat saya adalah wang saya dan pelabur, bukan wang rakyat. Saya ambil duit poket saya, bayar kepada 150 budak yang pandai untuk didik mereka dalam perniagaan.

“(Tan Sri) Azam Baki (Ketua Pesuruhjaya SPRM) ini, dia hantar pegawai dia serbu. Sampai 9 malam tadi masih kena kacau,” katanya ketika berucap pada Ceramah Mega Ayuh Malaysia, Kita Boleh di Wangsa Maju malam tadi, lapor Berita Harian.

Sebelum ini, SPRM memaklumkan akan membuka kertas siasatan berhubung perisytiharan harta yang dilakukan Rafizi, susulan satu laporan yang dibuat sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sementara itu, Rafizi berkata, beliau akan meneruskan pendedahan mengenai skandal projek tebatan banjir Sungai Langat 2, yang didakwa membabitkan Menteri Alam Sekitar dan Air Tuan Ibrahim Tuan Man.

Rafizi mendakwa, beliau mempunyai bukti lain yang menunjukkan projek itu diluluskan selepas Parlimen dibubarkan, tindakan yang melanggar undang-undang.

“Saya nak tengok, apa Azam Baki dan SPRM jawab lepas ini. Tuan Ibrahim ingat saya mempunyai satu atau dua dokumen.

“Selalunya, kalau saya mula dedah sesuatu, saya boleh heret sampai berbulan-bulan,” katanya.

Rafizi sebelum ini menuntut penjelasan Tuan Ibrahim berhubung status projek kerja rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 bernilai RM2 bilion yang didakwa dalam proses mendapat kelulusan.

Beliau mendakwa, kementerian itu sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender terbabit secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor menerusi surat bertarikh 7 Okt 2022, sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.

Susulan dakwaan itu, Tuan Ibrahim menjelaskan bahawa surat yang ditunjukkan Rafizi itu bukan dikeluarkan beliau atau kementeriannya, selain menyebut bahawa surat itu dikeluarkan sebelum Parlimen dibubarkan.

No comments: