KJ MENYULITKAN LAGI LALUAN ISMAIL SABRI JADI PERDANA MENTERI

 

Sejujurnya saya amat bersimpati kepada Ismail Sabri Yaakob sekarang ini dan saya rasa beliau semakin sukar untuk dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Ia bukan disebabkan BN tiada harapan untuk menang atau sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh ramai orang iaitu PH lebih ke hadapan untuk memenangi PRU15 akan datang.

Sebaliknya, simpati saya kepada nasib beliau itu adalah disebabkan kenyataan terbaru yang dibuat oleh Khairy Jamaluddin atau KJ, calon BN bagi Parlimen Sungai Buloh hari ini.

Dalam temubual dengan stesen radio BFM, KJ berkata, Ismail Sabri perlu mencabar Ahmad Zahid Hamidi bagi merebut jawatan Presiden UMNO jika beliau dilantik semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 ini.

“Seperti yang saya katakan, Ismail Sabri akan menjadi Perdana Menteri, kami patut menyokongnya sebagai presiden parti selepas itu.

“Dan orang lain, Hisham (Hishammuddin Hussein), saya sendiri, akan mengadakan perbincangan mengenai siapa yang akan lawan jawatan nombor dua (timbalan presiden),” katanya lagi.


Kenyataan KJ itu sebenarnya menyulitkan lagi, kalau pun tidak menutup terus, peluang Ismail Sabri untuk dilantik sebagai Perdana Menteri jika BN menang PRU15 akan datang.

Sebagaimana kita tahu, walaupun Ismail Sabri telah dinamakan sebagai poster boy dan calon Perdana Menteri, tetapi penentuan akhir mengenainya masih di tangan Zahid Hamidi selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN.

Selaku Presiden UMNO dan Pengerusi BN, macam-macam silat boleh dilakukannya mengenai siapa yang akan dinamakannya sebagai Perdana Menteri.

Malah, tujuan Zahid Hamidi menangguhkan pemilihan UMNO dan mendesak disegerakan PRU15 sebelum ini juga adalah untuk menyelamatkan jawatan Presiden UMNO yang sedang dipegangnya daripada dilawan oleh orang lain.

Kalau beliau sedia atau memang mahu menyerahkan jawatan Presiden UMNO kepada Ismail Sabri, sudah tentu beliau tidak bersungguh-sungguh menangguhkan pemilihan parti sampai ke peringkat meminda perlembagaannya.

Lebih baik Zahid Hamidi adakan saja pemilihan UMNO sebaik saja Ismail Sabri dilantik sebagai Perdana Menteri pada 2021 yang lalu.

Bermakna, dalam hal ini, Zahid Hamidi memang sayang dan ingin melindungi jawatannya itu.

Tetapi, sekarang KJ secara terbuka menyatakan Ismail Sabri perlu mencabar Zahid Hamidi bagi jawatan Presiden UMNO jika selepas ini dilantik semula sebagai Perdana Menteri.

Kenapa begitu awal KJ bercakap soal pemilihan UMNO, sedangkan PRU15 belum berakhir lagi?

Mustahil Zahid Hamidi akan berdiam diri saja dan sebagaimana beliau melindungi jawatannya itu sebelum ini, sudah pasti jawatan Presiden UMNO itu akan terus dilindunginya dalam pemilihan parti akan datang.

Saya percaya, kalau BN menang PRU15 ini, bukan nama Ismail Sabri yang akan dinamakannya kerana jika beliau menamakan Ahli Parlimen Bera itu ia sama erti dengan membunuh masa depannya sendiri lantaran sudah pasti jawatan Presiden UMNO yang dipegangnya akan dilawan kemudiannya.

Silap-silap dengan kenyataan KJ itu, bukan saja harapan Ismail Sabri untuk menang di Bera jadi turut terancam, bahkan KJ sendiri akan melalui laluan lebih sukar untuk menang di Sungai Buloh.

Pokoknya, Zahid Hamidi sekarang ini, walaupun pemilihan UMNO masih jauh lagi, beliau sudah tahu siapa musuh di depannya. – ShahbudinHusin 15/11/2022.




No comments: