PH KOMITED MAHU LAKSANA DASAR GAJI PROGRESIF, KENAIKAN UPAH PURATA PEKERJA JIKA DIBERI KUASA – RAFIZI

 

Kita akan mengundi beberapa hari sahaja lagi.

Dalam hiruk pikuk berkempen, kadang-kadang kita lupa tujuan kita memilih kerajaan. Kita pilih kerajaan supaya menteri-menteri yang makan gaji dengan kita menyelesaikan masalah utama kita.

Apa masalah utama kita?

Untuk rakyat biasa, masalah kita ialah gaji dan pendapatan yang rendah. Akibatnya, setiap kali harga barang naik mendadak, kita makin dihimpit.

Apa punca gaji dan pendapatan yang rendah?

Kerana kemajuan ekonomi terbantut dan keuntungan syarikat-syarikat tidak sama rata. Hanya ada kurang dari 500 perusahaan swasta yang menyumbang besar kepada pertumbuhan ekonomi, jadi bila kerajaan umum pertumbuhan ekonomi yang baik, hanya pekerja-pekerja syarikat yang 500 ini yang dapat naik gaji, bonus dan lain-lain.

Ini syarikat-syarikat besar negara, sebahagiannya multinational corporations (MNC), sebahagiannya syarikat berkaitan kerajaan (atau GLC), sebahagiannya syarikat swasta yang besar-besar.

Berpuluh ribu syarikat yang lain yang menjadi majikan 90% pekerja di Malaysia tidak mendapat laba ekonomi yang memadai.

Pendapatan mereka hanya cukup untuk menampung kos dan peluang ekonomi dibolot oleh syarikat-syarikat besar tadi yang banyak tertumpu kepada kegiatan dalam negara, bukannya mencari pasaran baru di luar negara.

Mereka tidak mampu untuk membayar gaji yang lebih baik.

Sebab itu saya katakan kerajaan tidak lagi boleh menyerahkan tanggungjawab menaikkan gaji progresif ini kepada pihak majikan semata-mata.

Pertamanya kerana keadaan menjadi begini akibat kegagalan kerajaan menstruktur ekonomi dengan baik hingga kekayaan ekonomi banyak tertumpu kepada 500 syarikat swasta yang besar dan meminggirkan berpuluh ribu majikan kecil yang lain.

Keduanya kerana sikap berlepas tangan mengenai kenaikan gaji akan memangsakan rakyat sedangkan tanggungjawab kerajaan adalah memakmurkan rakyat.

Oleh itu, mana-mana gabungan parti yang menjadi kerajaan perlu memberi tumpuan kepada dua agenda nasional yang paling besar:

SATU:

Membina keupayaan syarikat-syarikat sederhana dan kecil supaya mereka mampu bersaing dengan syarikat liga pertama ini. Ada beberapa cara yang wajar dilaksanakan termasuklah menggalakkan penggabungan syarikat-syarikat ini agar mereka mempunyai kapasiti bersaing yang lebih baik.

Lebih besar dan teratur syarikat-syarikat ini, mereka lebih berkemampuan untuk membayar gaji yang lebih tinggi.

Kerajaan juga perlu meletakkan sasaran pendapatan dari luar negara ke atas syarikat-syarikat berkaitan kerajaan supaya mereka memberi ruang kepada syarikat lain untuk membina keupayaan dalam pasaran domestik.

Sudah sampai masanya syarikat berkaitan kerajaan meneroka keuntungan di luar negara untuk dibawa pulang, bukannya bersaing dengan syarikat-syarikat kecil milik rakyat biasa yang menyempitkan ruang persaingan dalam negara.

Mana-mana syarikat berkaitan kerajaan yang berpeluang distruktur untuk menjadi syarikat swasta sepenuhnya untuk meningkatkan daya saing, kerajaan wajar memberi insentif untuk menggalakkan pengurusan profesional syarikat GLC mengambil alih pemilikan melalui “management buy out”(MBO).

Ini akan meningkatkan daya saing keusahawanan dalam negara.

KEDUA:

Kerajaan memberi komitmen untuk campur tangan dalam menetapkan kenaikan gaji purata tahunan supaya pendapatan rakyat tetap naik pada kadar yang munasabah setiap tahun.

Jika ini berlaku untuk tempoh sedekad akan datang, barulah paras gaji rakyat dapat ditingkatkan secara beransur-ansur.

Satu tabung khas untuk mencapai sasaran gaji progresif ini wajar ditubuhkan.

PKR dan PH adalah satu-satunya gabungan politik yang mempunyai dasar gaji progresif dan komited untuk menjadikan kenaikan gaji purata pekerja sebagai agenda ekonomi nasional.

Jika gabungan lain berkuasa dan gaji kekal rendah, anda telah mensia-siakan peluang ini untuk menaikkan gaji rakyat Malaysia.

RAFIZI RAMLI

Timbalan Presiden PKR

16 November 2022.



No comments: