Gangguan LRT: Perlu ada menteri bertanggungjawab
Gangguan sistem pengangkutan aliran ringan (LRT) yang mula pulih di beberapa laluan tidak sewajarnya dibiarkan berlalu begitu sahaja.
Menurut Pengarah Komunikasi KEADILAN Lee Chean Chung, isu pokok kerosakan yang melibatkan 16 stesen selama beberapa hari itu sehingga kini masih lagi belum dijawab secara tuntas oleh Menteri.
Katanya, Menteri Pengangkutan terutamanya perlu menjelaskan sama ada berlaku kerosakan teknikal atau sabotaj dalam kejadian berkenaan.
“Adakah ianya disebabkan oleh isu kejuruteraan ataupun “sabotaj” pengurusan yang didakwa oleh Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong?
“Apakah jangkaan kerugian ekoran gangguan perkhidmatan selama beberapa hari ini? Siapa yang perlu bertanggungjawab terhadap kecuaian tersebut? Selain gula-gula kepada penumpang (tambang percuma), Wee Ka Siong nampak kosong dan tidak dapat memberikan sebarang jawapan.
“Bekas CEO Prasarana Datuk Ridza Abdoh Salleh membuat komen isu tersebut berpunca daripada hal pengurusan yang telahpun bertimbun selama beberapa tahun. Beliau berkata situasi terlalu banyak lapisan pengurusan yang mengambil gaji tinggi mewujudkan karenah birokrasi yang tidak diingini, serta menambahkan rasa kurang senang hati di kalangan staf.
“Saya mendesak supaya Audit Teknikal dijalankan oleh badan bebas dalam hal ini untuk mencari isu-isu pokok insiden (berkaitan LRT) yang semakin kerap berlaku sekarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, calon Ahli Parlimen Petaling Jaya itu juga menuntut Menteri Pengangkutan dan Menteri Kewangan memaklumkan apakah bentuk rombakan yang akan berlaku bagi mengelakkan keadaan berulang pada masa hadapan.
“Saya turut menggesa Menteri Kewangan Tengku Zafrul dan Wee Ka Siong agar memaklumkan kepada orang awam apakah bentuk rombakan dan perubahan akan diadakan supaya diberi jaminan bahawa insiden tersebut tidak berlaku lagi.
“Aneh apabila insiden sebesar ini melibatkan gangguan 16 stesen dan selama 5 hari, tiada seorang yang perlu bertanggungjawab,” katanya lagi.
Dalam pada itu Chean Chung mengucapkan terima kasih kepada kumpulan kejuruteraan Rapid Rel yang bertungkus lumus membaiki sistem LRT Laluan Kelana Jaya dan berjaya memperbaiki kerosakan yang dijangka siap selama 7 hari tetapi selesai dalam masa 5 hari.
Juga kepada gantirugi tambang percuma selama 7 hari kepada pengguna bagi memulihkan keyakinan mereka untuk kekal menggunakan pengangkutan awam.